Pada 18 Oktober 2012 yang lalu , career2zoom dengan kerjasama Naza Automotive Manufacturing (NAM) dan Maktab Rendah Sains Mara Kepala Batas telah menganjurkan dengan jayanya career2zoomXplore ke 2. Seramai 32 orang pelajar tingkatan 3 termasuk 2 orang guru pengiring dan 2 wakil career2zoom terlibat dalam program lawatan eksplorasi kerjaya ke kilang NAM di Gurun Kedah.

Program lawatan telah bermula dari jam 9.00 pagi di mana kami menjalankan aktiviti ‘comic puzzle’ secara berpasangan dalam perjalanan dari MRSM Kepala Batas ke Gurun Kedah.  Perjalanan mengambil masa kira-kira 40 minit sahaja melalui lebuhraya PLUS. Setibanya di Kilang NAM, kami telah disambut oleh wakil NAM iaitu Pn. Azniwati dan dibawa ke Auditorium ditingkat bawah lobi bangunan NAM. Taklimat mengenai career2zoom dan rumusan aktiviti semasa di dalam bas pula telah disampaikan oleh Pn Noorazlina selaku ketua rombongan career2zoomXplore kali ini. 2 orang pelajar yang menjawab soalan aktiviti ‘comic puzzle’ dengan betul iaitu adik Amirul dan adik Muhammad Irfan bertuah kerana dihadiahkan dengan langganan majalah career2zoom online selama setahun. Tahniah diucapkan kepada mereka !

Taklimat mengenai NAM telah berlangsung dari jam 10 hingga 10.40 pagi. Taklimat tersebut menerangkan tentang latar belakang dan sejarah penubuhan NAZA dan anak-anak syarikat yang bernaung di bawah NAZA termasuklah Syarikat NAM Sdn. Bhd. Secara sepintas lalu, NAZA telah ditubuhkan oleh Allahyarham SM Nasimuddin sejak tahun 1975. NAM kini diterajui oleh anaknya iaitu SM Nasaruddin.

Pada jam 10.45 pagi kami telah dibawa melawat ke Kilang NAM untuk melihat sendiri pemasangan kereta secara langsung. Disebabkan kawalan kualiti , kerahsiaan model dan sekuriti , pelawat tidak dibenarkan sama sekali merakamkan suasana dalaman kilang dan proses pemasangan kereta dalam bentuk video atau foto. Pelawat juga hanya dibenarkan melihat proses pemasangan kereta dari atas jejantas – tempat yang disediakan khas untuk pejalan kaki dan pelawat. Walaubagaimanapun , kami amat berbesar hati dan bersyukur kerana peluang dan pengalaman melihat proses pemasangan kereta ini jarang diperolehi di mana-mana. Suasana dalaman kilang sangat teratur , kemas dan bersih. Setiap segmen contohnya dilengkapi dengan mesin robotik bagi memudahkan kerja. Lawatan di dalam kilang tamat pada jam 11.15 pagi. Pihak NAM juga berbesar hati menjamu hidangan makanan enak kepada kami selepas tamat lawatan di Cafeteria NAM. Menurut Pn Azni, kafe tersebut juga merupakan salah satu kemudahan yang disediakan oleh pihak kilang bagi pekerja-pekerja NAM kerana makanan yang dijual adalah dengan harga subsidi.

Selepas tamat lawatan di Kilang NAM, kami bergegas ke Akademi Naza pula yang terletak beberapa blok bangunan dari kilang NAM. Di Akademi, kami telah disambut oleh wakil akademi En Rabil dan diberi taklimat oleh Pengurus Kanan Akademi , En. Hamzan. Agak malang sedikit kerana kami tidak sempat melawat kelas-kelas teknikal di akademi kerana kelas-kelas tersebut telah ditutup sebelum jam 1.00 tengahari. Kami hanya sempat melawat kelas ‘ Power Knowledge’, hostel dan padang ‘team building’. Lawatan career2zoomXplore tamat pada jam 1.00 tengahari. Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak NAM, Akademi Naza dan peserta-peserta kali ini iaitu pelajar MRSM Kepala Batas kerana telah menunjukkan komitmen dan minat terhadap setiap aktiviti yang dijalankan sepanjang program.

 

Untuk keterangan lanjut mengenai NAM, layari web http://www.nam.com.my/about-nazagroup.html

Akademi Naza di http://www.nazakia.com.my/corporate-info/naza-kia-academy