Highlight pendidikan memfokuskan pendidikan berteraskan Al-Quran yang ditawarkan oleh Yayasan An-Nahdhoh.

Career2zoom berpeluang menemuramah YDP Yayasan An-Nahdhoh iaitu Ustaz Hj. Abdul Mutalib b. Maarof.  Nama An-Nahdhoh bermaksud ‘kebangkitan’ telah diberikan oleh Tuan Guru Abu Bakar Warak (iaitu guru kepada YDP Yayasan An-Nahdhoh yang juga merupakan  mudir Madrasah Nurul Islah).

 

(Audio mengenai penubuhan Yayasan AnNahdhoh)

Terdapat 3 institusi yang saling melengkapi dan berterusan seawal peringkat tadika hingga peringkat menengah iaitu :

Tadika Yayasan An-Nahdhoh

Pra-Tahfiz An-Nahdhoh

Maahad Tahfiz An-Nahdhoh

 

Tadika Yayasan An-Nahdhoh

Tadika ini telah beroperasi sejak tahun 2009. Seperti tadika lain , waktu pembelajaran dijalankan pada waktu pagi dari jam 8.30 hingga 12.00 tengahari. Ia juga menawarkan perkhidmatan tambahan iaitu sebagai pusat jagaan, transit sebelum dan selepas sekolah dan kelas tuisyen kepada ibu bapa yang bekerja dan dibuka dari jam 7 pagi hingga 6 petang.

Sehingga kini, tadika AnNahdhoh mempunyai seramai 50 orang penuntut berusia dari 4 hingga 6 tahun yang diurus dan dididik oleh seramai 7 orang guru. Tadika ini menekankan pembelajaran Iqra, hafalan surah-surah penting, pergaulan dan adab secara islamiah  serta akademik seperti bahasa melayu, matematik, bahasa inggeris dan bahasa arab.

Pra-tahfiz

Pra-tahfiz ditubuhkan dengan objektif untuk menjana generasi yang mencintai al-Quran. Pengajian adalah berteraskan membaca iqra dan al-Quran, pengajian fardhu ain dan mengenal al-Quran. Pra-tahfiz ini telah beroperasi semenjak tahun 2005 dan tempat pembelajaran mampu menampung sehingga 300 pelajar pada satu-satu masa. Sehingga kini, hanya 200 penuntut berumur dari 6 hingga 11 tahun yang menuntut di Pra-tahfiz dan dibimbing oleh 11 orang guru.

Kelas-kelas yang ditawarkan termasuklah kelas pengajian iqra, kelas pengajian al-Quran dan tajwid,Kelas hafazan. Walaubagaimanapun, waktu pengajian hanya dijalankan dari jam 7.30 malam hingga 9.30 malam (Isnin hingga Jumaat). Selain itu, Pra-Tahfiz juga menyediakan aktiviti tahunan seperti program pondok singkat (PPS), majlis khatam Quran dan penganugerahan sijil serta sambutan maulidur rasul.

Maahad Tahfiz An-Nahdhoh

Maahad ini merupakan aktiviti pendidikan utama dan tunjang kepada tertubuhnya Yayasan AnNahdhoh. Pengajian adalah menekankan hafalan al-Quran dan mengambil masa selama 3 tahun pengajian bagi pelajar berumur 13 hingga 14 tahun. Madrasah telah mula beroperasi sejak tahun 2008. Terdapat 105 orang penuntut (bagi tahun 2011) dengan 7 orang guru dan seorang warden asrama.

Objektif madrasah ditubuhkan adalah untuk melahirkan huffaz intelektual, yang dapat membimbing masyarakat kea rah  keilmuan. Selaras dengan objektif, madrasah AnNahdhoh bukan sahaja mengajar hafazan al-Quran tetapi turut mengajar pelajaran kitab dan akademik selain aktiviti seperti burdah, marhaban, nasyid , berzanji, khat, qasidah , dan tuisyen spm .

Antara kemudahan yang disediakan adalah tempat pembelajaran yang luas, asrama 3 tingkat dan penginapan guru.

Untuk keterangan lanjut anda boleh hubungi :

Yayasan An-Nahdhoh
843, Mukim 5, Kg.Petani, Kubang Semang ,
14400 Bukit Mertajam,
Pulau Pinang
04-521 3500

Anda juga boleh memberi sumbangan kepada pihak yayasan:

Akaun: 07016010037709 (BIMB)
Nama: Madrasah An-Nahdhoh