Marilah sama-sama kita bersungguh-sungguh bertaqwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi contoh terbaik kepada anak-anak, keluarga dan masyarakat. Tajuk khutbah pada hari ini ialah  “UTAMAKAN YANG HALAL”

Kehidupan kita hari ini yang dihidangkan dengan pelbagai barang makanan, minuman dan barang gunaan menuntut kita berwaspada dan berhati-hati dalam mengguna barangan tersebut kerana masalah halal dan selamat. Justeru itu, mimbar Jumaat hari ini ingin mengingatkan para jemaah tentang kewajipan menggunakan makanan dan barangan halal lagi baik dalam kehidupan seharian. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

 Kita semua tahu bahawa Allah s.w.t memerintahkan kita agar mencari rezeki dari sumber yang halal. Begitu juga dengan permakanan harian kita,perlulah diutamakan kehalalannya. Dan perintah ini terkandung dalam banyak ayat Al-Quran, antaranya, firman Allah s.w.t dalam surah An-Nahl, ayat 114:

Ertinya: Maka makanlah yang halal lagi baik dari rezeki yang telah diberikan Allah kepadamu; dan syukurilah nikmat Allah, jika kamu benar-benar menyembahNya  sahaja.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya makanan yang dimakan itu memberi kesan mendalam kepada keperibadian dan peribadatan seseorang kerana sumber makanan yang halal dan bersih itu akan mencergaskan seluruh anggota badan untuk beribadat dan  taat, zuhud terhadap dunia dan cinta kepada akhirat. Selain itu, memakan makanan yang halal juga akan menimbulkan rasa syukur dan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata’ala dalam diri kita. Ia juga dapat menjernihkan hati serta melembutkannya dan akan menimbulkan ketakutan serta kesyukuran terhadap kebesaran Allah Subhanahu Wata’ala, semua sifat-sifat tersebut akan menjadi sebab utama amalan-amalan soleh kita diterima dan terkabulnya doa.

Sebagai umat Islam, kita hendaklah berhati-hati dan sentiasa peka terhadap kehalalan setiap makanan yang kita ambil kerana makanan yang halal sahajalah yang akan mendatangkan berkat, sebaliknya makanan yang tidak halal dan syubhah itu akan menjauhkan seseorang dari berbuat kebajikan dan melakukan ibadah.

Makanan yang tidak halal akan menimbulkan noda hitam di hati, memberatkan hati untuk melakukan kebajikan dan menjadikan kita lupa akan akhirat dan mendambakan dunia sahaja.

Kita hendaklah mengambil berat dan berhati-hati dalam pemilihan makanan, jangan ambil ringan sahaja tentang pemakanan harian kita tanpa memastikan sama ada ianya halal atau tidak. Ini kerana, begitu mudah di masa kini untuk kita mendapatkan produk-produk makanan yang segera  baik yang dihasilkan dalam negara mahupun yang diimport dari luar negara, ini tidak tergolong produk-produk yang dihasilkan oleh pengusaha-pengusaha bukan Islam. Oleh itu periksa dan amatilah terlebih dahulu sebelum membeli. Jangan sampai termakan benda-benda yang tidak halal dan diharamkan oleh syarak.

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam, daripada An-Nuqman bin Basyir Radiallahu Anhu yang maksudnya :

“Perkara yang halal itu jelas dan begitu juga perkara yang haram itu jelas”. (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

 

Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan sebuah hadith Rasulullah yang menjelaskan lagi tentang kepentingan mengutamakan yang halal :

Maksudnya:Sesungguhnya yang halal itu terang (jelas), dan yang haram itu terang, dan di antara keduanya pula terdapat perkara-perkara yang syubhah (yang tidak terang halal atau haramnya) yang tidak diketahui oleh manusia. Orang yang memelihara dirinya daripada perkara syubhah itu adalah seperti orang yang melindungi agama dan kehormatannyadirinya. Orang yang tergelincir ke dalam perkara syubhah akan masuk ia ke dalam perkara yang haram laksana seorang pengembala dipinggir sebuah tempat larangan, yang akhirnya lalai dan masuk ia ke dalam tempat larangan itu. Adapun bagi setiap raja ada sebuah kawasan larangan dan tempat larang Allah itu adalah segala yang diharamkan. Ketahuilah pada setiap jasad itu seketul daging jika ia baik, baiklah seluruh jasad itu dan sekiranya ia rosak maka rosaklah seluruh jasad itu. Itulah hati.

Sesungguhnya makanan memainkan peranan penting dalam melahirkan insan yang berkualiti, baik dari segi akademik, rohani mahupun jasmani. Biarlah orang mengatakan kita cerewet kerana terlampau berhati-hati dalam memilih makanan, yang penting ibadat kita diterima Allah Subhanahu Wata’ala dan selamat di dunia dan di akhirat.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Demi menjamin makanan,  minuman dan barang-barang gunaan yang kita gunakan halal, suci dan selamat; mimbar yang mulia ini mencadangkan langkah-langkah berikut:

 

( 1 )  marilah kita insafi betapa besarnya tuntutan syarak dalam memelihara halal dan haram.

( 2 )  kita wajib memastikan makanan, minuman, ubat-ubatan dan barang-barang gunaan mempunyai logo halal yang sah.

( 3 )  memastikan program-program dihotel adalah hotel yang memiliki sijil halal.

( 4 )  memastikan makan minum hanya direstoran-restoran milik umat Islam.

( 5 )  tidak melibatkan diri dalam sebarang perniagaan yang mengandungi unsur gharar (tipu) dan riba.

 

Maksudnya: ” Wahai orang-orang yang beriman,  makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah jika betul kamu hanya beribadah kepada-Nya. “

(Surah al-Baqarah: 172)