Ungkapan ‘tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah’ sama sekali tidak terpakai dalam urusan memberi rasuah. Ungkapan itu hanya sesuai dalam bab bersedekah dan menderma , di mana tangan yang di atas adalah lebih baik kerana gemar membantu orang lain yang sedang memerlukan.

Ungkapan itu ialah untuk menggalakkan dan memuji orang yang suka berbuat baik kerana pemberian yang ihklas tanpa mengharapkan apa-apa balasan daripada kemurahan hatinya.Tangan di atas yang suka memberi dengan rasa ikhlas lazimnya gemar membantu anak-anak yatim, fakir miskin, menyumbag kepada masjid, bersedekah dan berzakat.Mereka mensyukuri rezeki daripada Allah.Mereka bukan pemberi rasuah, mereka bukan daripada golongan orang yang menguruskan rumah urut, berniaga dadah, memandu kenderaan tanpa ikut peraturan, curi balak, curi pasir, sorok gula pasir, pengurus kilang cakera padat (CD) cetak rompak dan sebagainya yang kalau disebut senarai jenayah ini tanpa noktah, rasanya boleh semput nafas.

Di negara kita, antara penyumbang besar berlakunya jenayah rasuah adalah disebabkan wujudnya tangan-tangan jahat ini, tangan yang suka memberi. Tangan-tangan yang mementingkan diri sendiri. Tangan durjana yang tidak pernah memikirkan akibat perbuatannya. Tangan yang tamak, tidak mahu mengikut peraturan dan menafikan hak orang lain yang sepatutnya berhak mendapatkan benda sama, khususnya ketika membida tender-tender projek berskala besar. Lebih tinggi nilai projek lebih besarlah habuan yang ditawarkan daripada tangan-tangan jahat ini.

Walaupun berbagai-bagai kempen memerangi rasuah dan usaha memantapkan sistem penyampaian kerajaan telah dilakukan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ternyata masih ramai individu yang masih cenderung memberi rasuah kepada kakitangan awam. Peniaga dan golongan pekerja sendiri dikenalpasti kumpulan terbesar menjadi pemberi rasuah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dalam empoh empat bulan tahun ini, pesalah trafik dicatat paling ramai ditahan kerana memberi rasuah, diikuti pendatang asing atau masalah yang bersabit dengan permit kerja.

Lazimya mereka memberi suapan untuk mengelak tindakan undang-undang. Jika ini tidak kita cegah, jangan kita menangis andainya saban hari kematian di jalanraya terus terpampang di muka hadapan setiap akhbar, dan jangan resah gelisah andainya pendatang asing terus menimbulkan masalah kepada ketenteraman yang sedang kita nikmati selain kehadirannya mampu meningkatkan kadar jenayah.

Mari kita lihat beberapa contoh benar mengenai perangai buruk pemberi rasuah yang kalau diamati perbuatannya memang jelas memberi kesan dan kerugian kepada orang lain dan negara.

Di Shah Alam, seorang pemilik kilang air batu berusia 61 tahun bertindak merasuah Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM40,000 untuk menutup kesalahannya mencuri arus elektrik bagi kegunaan kilangnya, manakala pemilik kilang Datamax Recycle Enterprise didenda RM 7,500 oleh mahkamah kerana kesalahan memberi rasuah RM5,000 kepada pegawai TNB, juga bagi kesalahan mencuri elektrik.Perlakuan mereka itu , jika tidak dicegah  boleh menyebabkan kerugian besar kepada TNB , dan menganiaya pengguna lain yang membayar perkhidmatan itu.

Di Kuala Lumpur, seorang pengecat rumah berusia 46 tahun ditahan kerana menawarkan rasuah berjumlah RM54,950 kepada seorang pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) untuk menutup kesalahannya memiliki dadah. Begitu halnya dengan seorang penganggur berusia 29 tahun dari Shah Alam yang menyogok RM896 kepada seorang pegawai JSJN supaya tindakan tidak diambil terhadap kawan baiknya yang memiliki candu dan syabu.

Di Kuantan, Rizhan Johari , 30 , dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM50,000 juga kerana merasuah seorang pegawai polis sebanyak RM14,000.Dia dan dua di atas itu adalah pengedar dadah yang jika perbuatannya dihalalkan akan menyebabkan lebih ramai pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara di negara ini ramai yang mati sia-sia.

Rakyat tempatan yang menjadi pelindung dan giat berdagang manusia menjadi kumpulan kedua menyebabkan budaya menyogok penjawat awam semakin kerap berlaku. Di Kota Tinggi, Johor seorang tekong darat berumur 37 tahun sanggup memintas kenderaan polis sebelum menawarkan RM 7,000 dan 4 juta rupiah bagi membebaskan 16 warga Indonesia yang ditahan pihak berkuasa, manakala Balai Polis Tranum dalam daerah Raub, lelaki tempatan berumur 40 tahun benar-benar cekal sehingga sanggup melakukan tiga cubaan untuk merasuah anggota balai polis berkenaan berjumlah RM206, RM605 dan RM66.

Perkara yang sama berlaku di Alor Setar di mana seorang lelaki berumur 23 tahun sanggup menyogok seorang pegawai imigresen RM 3,000 bagi membebaskan tiga orang tukang urut warga Thailand yang juga disyaki melakukan kegiatan pelacuran.Sementara di Shah Alam pula seorang wanita pengusaha kedai dobi menyogok RM500 kepada pegawai imigresen untuk membebaskan pekerjanya warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen. Prinsip mereka nampaknya mudah, bagi rasuah semua masalah boleh selesai.Akibatnya rakyat asing bebas berkeliaran tanpa rasa takut walaupun kehadirannya menyalahi undang-undang negara ini.

Senario yang sama turut berlaku di jalan raya. Buktinya , di Johor Bahru lapan pemandu Singapura ditahan kerana memberi rasuah antara RM 20 hingga RM 110 kepada polis trafik kerana pelbagai kesalahan lalu-lintas di sekitar negeri itu.Apakah sebenarnya persepsi mereka tentang peraturan jalan raya di negara ini ?

Menghalalkan pemberian rasuah setiap kali pemandu melakukan kesalahan  trafik sebenarnya mendorong pemandu tidak takut kepada undang-undang dan peraturan. Dialog ‘halal ya, saya tak mintak’ harus tidak kedengaran lagi di tepi jalan raya kerana jika hengki pengki ini masih terus berlaku, apa pun kempen keselamatan jalan raya yang kita anjurkan tidak akan berkesan dan sia-sia, sebaliknya ratusan kematian di jalan raya akan terus kita saksikan.

Rasuah juga memainkan peranan dalam kegiatan menjual cakera padat digital (DVD) lucah. Di Melaka, seorang warga emas terpaksa direman empat hari kerana merasuah polis RM3,000 yang menyerbu premis mereka dan menjumpai 66 keping DVD lucah pelbagai tajuk. Jika 66 DVD lucah ini dapat dijual olehnya dan pengedar-pengedar lain yang sewaktu dengannya, akan lebih ramailah bayi tidak berdosa dibuang ke dalam tong sampah , longkang dan sungai. Kita cuma mampu bersedih  dengan kejahilan ibu bapa bayi itu, namun malas untuk memikirkan puncanya.

Kerana cinta seorang wanita tempatan berusia 41 tahun sanggup merasuah pegawai polis RM 17,500 bagi membebaskan kekasihnya berbangsa Argentina , yang melakukan jenayah pecah rumah dan membawa barang curi. Jika dengan sogokan itu, penjenayah yang ditahan di Ampang Jaya itu berjaya dibebaskan, ini bermakna ia akan melakukan lebih banyak  lagi jenayah samun dan pecah rumah. Mangsanya tentulah rakyat Malaysia manakala kesannya pula, kegelisahan dan trauma yang berpanjangan.

Kerana inginkan keuntungan lebih banyak, seorang pengusaha stesen minyak tidak teragak-agak merasuah RM 20,000 kepada penguatkuasa  Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)  selepas didapati menjual 27,300 liter diesel bersubsidi bernilai RM 46, 410 kepada kenderaan dari Thailand. Tindakan lelaki iu tentunya tidak mengambil kira sensiviti pengguna tempatan yang berkerut muka ketika membayar cukai, selain perbuatannya itu jelas merugikan negara.

Seorang tonto membuktikan bahawa dia bukan sahaja mampu menakut-nakutkan mana –mana penguat kuasa yang sedang melakukan tugas, malah bertindak berani untuk menyogok dua pegawai penyiasat di Balai Polis Ampang , bagi membebaskan empat anggota sindiket ‘ahlong’ yang ditahan kerana aktif memberi pinjaman wang tanpa lessen. Tonto itu memang benar-benar biadap kerana tidak menghormati undang-undang dan maruah anggota polis yang berusaha untuk mengelak lebih ramai peminjam daripada kena pukul, kena rantai, rumah disimbah cat dan diugut bunuh. Masihkah sebahagian kita menganggap itu perkara biasa? Anda akan menganggap biasa selagi musibah itu tidak terkena kepada diri dan keluarga.

Contoh yang dipaparkan ini ialah sebahagian kecil perangai jahat pemberi rasuah yang pada pandangan orang kebanyakan hanyalah kes ‘ikan bilis’. Hakikatnya, ikan bilis juga perlu ditangkap. Jenayah rasuah yang berstatus ‘ikan bilis’ masih mampu menimbulkan banyak masalah kepada masyaraka dan negara. Membiarkan ia melata dan menjadi budaya hidup tidak ubah seperti merelakan kejahatan itu untuk terus berlaku.

Jenayah rasuah yang dikatakan ‘ikan bilis’ ini mampu mewujudkan situasi tidak selesa,  tidak adil, menganiaya orang lain, meningkatkan jenayah, pengedaran dadah, CD cetak rompak, bangunan retak, jalan raya berlubang-lubang, rumah urut dan kilang haram sama banyak dengan kedai runcit. Diesel, gula, minyak masak diseludup ke negara jiran dan banyak lagi salah laku  yang memberi kesan negatif dan merugikan negara. Pernahkah kita memikirkannya, atau itu sebenarnya bukan masalah kita.

Persepsi ramai bahawa pembanterasan rasuah hanyalah terhadap ikan kecil perlu diketepikan kerana pada masa yang sama , jenayah rasuah berskala besar yang melibatkan mereka yang memiliki nama-nama besar juga tetap diambil tindakan. Antaranya skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Sime Darby dan pelombong pasir serta pencuri balak yang didalangi orang-orang besar manakala yang lain masih disiasat.

Memerangi rasuah bukan usaha satu pihak atau terserah kepada kerajaan atau agensi penguat kuasa tetapi perlukan kerjasama, kesedaran dan penglibatan semua pihak terutamanya agensi kerajaan, badan-badan bukan kerajaan, swasta dan media. Malah media mempunyai peranan besar dalam menyebar maklumat atau melaporkan apa sahaja salah laku yang berlaku setiap hari. Usaha memerangi rasuah hanya akan berjaya jika semua pihak ada kesedaran berterusan terutama di kalangan penjawat awam yang sama sekali memang dilarang terlibat dengan amalan rasuah.

Kepada mana-mana penjawat awam yang bertindak menolak pemberian rasuah, melaporkan dan menangkap pemberi rasuah , anda adalah contoh terbaik individu yang memiliki integriti tinggi. Rasa tanggungjawab dan rasa cinta kepada Tuhan, negara, masyarakat dan keluarga. Perubahan perlu bermula dari sekarang dan ia perlu bermula daripada semua orang. Kita perlu ada jati diri, kita wajib bersyukur, ini negara kita. Perangi rasuah!

Artikel sumbangan SPRM
Photo Credit : Jesadaphorn @ freedigitalphotos.net