Hari ini, rasuah dan politik ibarat isi dengan kuku. Seakan menjadi kelaziman dan trend apabila menyebut politik pasti dirantai dengan rasuah. Walhal politik sebelum era kemerdekaan wujud tanpa anasir-anasir busuk seperti rasuah. Syed Hussien Al-Atas pernah berkata ciri-ciri rasuah digalurkan seperti pengkhianatan terhadap kepercayaan sama ada melibatkan pihak pemerintah, lembaga swasta atau masyarakat umumnya.

 

Kajian demi kajian dijalankan bagi mencari jawapan kepada persoalan bagaimanakah rasuah bermula ? Di manakah akar umbinya? Apakah punca, kesan dan bagaimanakah cara untuk mengatasi masalah ini? Kajian paling menarik dijalankan Jamaie Hail pada tahun 2004 tentang penglibatan sebuah parti politik. Penemuan dari hasil kajian menjurus kepada penglibatan parti-parti dan pemimpin-pemimpin politik dalam bidang perniagaan. Kesannya gejala atau lebih tepat lagi virus rasuah ini sukar ditangani dan dibanteras sekiranya penglibatan mereka ini masih berterusan.

Ramai pemimpin dan ahli-ahli politik hari ini menceburi politik bukan dengan niat untuk memperjuangkan nasib rakyat. Politik dilihat sebagai satu medan yang boleh mendatangkan keuntungan dengan mudah, menaikkan taraf hidup dan jalan pintas untuk lebih dikenali. Acapkali ketika tiba musim pilihan raya pelbagai janji manis ditaburkan untuk memancing sokongan dan perhatian. Bagi pihak yang calonnya dilihat sukar mendapat tempat, hadiah dan habuan lumayan turut dijanjikan sebagai bonus sekiranya mereka berjaya. Akibatnya, kekayaan negara diagihkan kepada kelompok tertentu dengan alasan menjaga kepentingan sesuatu kaum. Akhirnya amalan kronisme, nepotisme dan politik wang menjadi budaya.

Satu penstukturan semula Dasar Ekonomi Baru dicadangkan oleh Malek Merican (seorang pakar ekonomi ). Beliau menyatakan perkara yang sama dengan kajian yang dijalankan oleh Gomez (1994) tentang penglibatan parti-parti politik dalam bidang perniagaan menimbulkan banyak masalah kerana mereka mempunyai kepentingan dalam kerajaan. Hasilnya, berlaku perkara-perkara seperti penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

“… bahawa banyak tender , pemberian, lesen dan kelulusan syer dibuat atas hubungan, bukan berasaskan bida yang terendah, yang paling cekap atau sesuatu asas berkaitan merit yang lain. Mereka bimbang yang Bumiputera dan bukan Bumiputera sedang mula percaya bahawa mereka patut bercita-cita menjadi broker kuasa dan mempengaruhi penaja-penaja daripada beriltizam untuk menjadi pengurus, pengeluar dan pengilang yang paling cekap…” (Faaland et al, 2005: 199).

Banyak pandangan dan pendapat yang diberikan oleh para cerdik pandai di Malaysia mengenai isu ini. Antara yang memberi pandangan tentang isu ini ialah Tan Sri Aziz Kamaruddin – bekas hakim Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata: “…perang melawan rasuah adalah peperangan rakyat, bukannya institusi kerajaan atau parlimen atau badan kehakiman. Kita mesti sedar bahawa rasuah ibarat barah yang boleh membunuh ekonomi dan politik negara. Rasuah boleh menyebabkan krisis politik apabila pihak yang tidak mahu melihat lebih banyak kerosakan berlaku mula merampas kuasa.”

Beliau menambah, amalan rasuah tidak sepatutnya berlaku di negara ini kerana lebih daripada 50 peratus penduduknya beragama Islam. Tetapi masalahnya kebanyakan daripada mereka yang terlibat dengan rasuah merupakan orang beragama Islam . Makan rasuah itu haram, ibaratnya seperti makan babi tetapi masih banyak orang Melayu yang menerima rasuah.

Begitu jijik dan hinanya rasuah. Bukan hanya diibaratkan seperti virus dan nanah, malah lebih dahsyat lagi apabila ia juga dipandang sebagai sesuatu yang haram. Pandangan ini bukan dari kacamata Islam sahaja bahkan meliputi semua agama dan anutan. Kita sedia maklum bahawa semua agama mengajar tentang kebaikan dan mengutuk kejahatan.

“ … rasuah adalah suatu gejala yang jahat, tetapi dia juga faham , bagi rakyat Malaysia, tidak kira bangsa, memasuki perkhidmatan kerajaan adalah satu cara paling mudah untuk membuat duit; dan mereka pun cukup tahu antara mereka nanti ada yang akan ditendang keluar dalam pilihan raya setiap lima tahun, jadi mereka terima rasuah dan menjadi korup.”- Petikan pandangan Tun Dr Ismail Abdul Rahman, bekas Timbalan Perdana Menteri.

Al Mawardi mengingatkan ahli politik dengan membawa sepotong hadis yang bermaksud: Apabila pemimpin berniaga maka binasalah rakyat . Kenyataan ini seterusnya disokong oleh Ibnu Khaldun dengan mengukuhkan syarat itu, apabila seorang menteri melibatkan diri dalam perniagaan, ia mungkin cuai dalam menjalankan tugasnya dan kebarangkalian untuk berlaku penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan adalah tidak mustahil. Ia juga akan menyebabkan pengagihan kekayaan yang tidak serata turut berlaku apabila hanya segelintir sahaja yang membolotnya.

Justeru itu, penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM ) pada tahun 2009 bagi menggantikan Badan Pencegah Rasuah dan Aspirasi SPRM 2010 dilihat dapat menjadi wadah dan penawar untuk menghapuskan gejala dan virus ini dari terus berkembang dan membiak dalam negara kita. Selain itu, peggubalan Pelan Integriti Nasioanal (PIN) dan penubuhan Institut Integriti Malaysia diharap dapat membantu SPRM untuk memastikan ketelusan dan kejujuran dalam pentadbiran negara.

Apa yang kita semua sedia maklum, permasalahan politik wang seakan-akan menjadi satu permasalahan yang tidak akan berkesudahan yang semakin berakar umbi sehinggakan agak sukar untuk dibendung lagi.Akan tetapi sebagai Muslim sejati yakni yang meyakini akan adanya hari pembalasan dan hari perhitungan iaitu di “ siratulmustakim” tentunya tidak menganggap permasalahan ini sebagai perkara biasa sahaja. Malah kesan daripada perbuatan rasuah ini semakin hari semakin mengikis akidah keimanan dan membawa kepada kepincangan terhadap komuniti kita seluruhnya. Golongan ni terlalu meyakini dan terlalu taksub dengan pegangan mereka sendiri yakni “ wang adalah segala-galanya”- kononnya, dengan wang mereka boleh memperoleh kuasa. Kalau inilah yang dijadikan pegangan para pemimpin kita, mereka tidak ubah seumpama Firaun tidak mempercayai kuasa dan kewujudan Allah swt kerana bagi mereka harta dan kekayaan itu adalah sebenar-benarya KEKUASAAN. Tetapi, sesungguhnya yakinlah bahawa, kepimpinan dan kekuasaan yang diperoleh secara haram dan tidak adil itu tidak akan berkekalan dan ianya amat tidak diredai oleh Allah SWT.

Apabila dihayati kembali pesan Rasullullah SAW dalam satu hadis Baginda yang bermaksud: “ Manusia apabila melihat sebarang kemungkaran tidak merubahnya, maka dipastikan oleh-Nya bagi menimpakan seksaanNya secara menyeluruh.” (Riwayat Ahmad).

Hadis ini menerangkan betapa besarnya peranan kita bagi membasmi dan mencegah rasuah. Dalam erti kata lain, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk sama-sama berganding bahu membentuk kerjasama bagi memerangi rasuah. Sebagaimana yang terkandung dalam hadis tersebut, kita akan sama-sama menanggung kesan dan bahana akibat rasuah sekiranya tidak ada sebarang tindakan dan usaha ke arah pencegahan rasuah.

Akhir kata marilah sama-sama kita renungi petikan di bawah sebagai panduan bersama, —“Alangkah bagusnya kalau rakyat kita satu hari nanti dapat lebih dahulu memantapkan kedudukan dalam profesion dan dunia perniagaan, kemudian baru masuk politik, seperti ahli politik Britain.Pesan saya kepada kaum pemuda kita, jangan masuk politik selagi belum terjamin kedudukan kewangan atau pekerjaan.” (Ooi Kee Beng, 2007:171)

 

Implikasi dan kesan rasuah politik

1 Terhakisnya keadilan

Apabila sumber ekonomi seperti hak memperolehi teder dimonopoli oleh hanya sekumpulan pihak yang mampu memberi ‘sogokan’ atau mereka yang mempunyai kepentingan tetapi tidak menunaikan tanggungjawab dan tidak memberikan kualiti perkhidmatan yang terbaik dalam melaksanakan tugas, akibatnya rakyatlah yang terpaksa menangggung padah. Menurut sumber daripada Bahagian Pembangunan Usahawan Kementerian Kerja Raya ada melaporkan bahawa 85.37 peratus projek yang dilaksanakan oleh segelintir kontraktor bumiputera mengalir kepada kaum lain. Isu ketirisan projek ini telah mendapat liputan meluas dan reaksi hangat khususnya bagi mereka yang ditindas. Rasuah dilakukan melalui “kabel politik” dan “orang dalam” di jabatan-jabatan berkenaan.

2 Melemahkan sistem pentadbiran

Sistem pentadbiran negara tidak akan berfungsi dengan baik kerana wujudnya saluran lain selain sistem itu. Sistem pentadbiran dirangka bagi melicinkan perjalanan sesuatu urusan tetapi disebabkan peranan “orang dalam” dan “orang tengah” sistem yang sepatutnya memberi hasil terbaik dalam sesuatu perkhidmatan itu gagal berfungsi apabila rasuah dan sogokan menjadi perantara.

3 Nasib rakyat menjadi taruhan bukan perjuangan

Rasuah bukan sahaja menjejaskan kemajuan sesebuah negara bahkan mempertaruhkan nasib rakyat dalam negara. Ini dapat dilihat sewaktu kempen meraih undi dalam pilihan raya. Janji dan habuan menjadi mainan namun setelah berakhir pilihan raya janji tinggal janji, yang menjadi mangsa rakyat setempat.

4 Amanah bukan lagi pegangan

Hilangnya amanah di dalam sesuatu urusan kerana mereka bukan lagi berkhidmat atas dasar amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka, tetapi kerana manfaat yang boleh diraih dengan jawatan yang dimiliki.

5 Melahirkan pemimpin yang tidak berkualiti

Sekiranya rasuah tidak dicegah, maka akan wujud satu negara yang dipimpin oleh mereka yang bukan sahaja mementingkan diri sendiri malahan bakal melahirkan insan-insan tdak berkualiti. Realitinya, akiba gejala rasuah, sebuah negara yang maju dan pesat membangun sekalipun tidak mungkin bertahan sehingga akhirnya tumbang menyembah bumi. Rakyat tiada lagi dahan untuk bergantung dan hilang bumbung untuk berteduh.

Artikel sumbangan SPRM
photo credit: dierk schaefer via photopin cc