Rasuah adalah antara jenayah terkutuk yang dilarang keras oleh Islam kerana kesannya sangat buruk, bukan sahaja kepada si pemberi dan penerima rasuah malah menyebabkan musibah kepada seluruh masyarakat dan negara. Gejala rasuah bukan lagi merupakan satu fenomena luar biasa di negara ini. Tetapi telah menjadi budaya yang berakar. Lebih teruk lagi ianya sudah mendarah daging di dalam tubuh individu yang mengamalkannya.Buktinya, setiap hari kita dihidangkan dengan pelbagai berita penangkapan, pendakwaan dan juga sabitan hukuman ke atas pesalah rasuah, dari sekecil-kecil kes hinggalah kepada kes yang melibatkan personaliti ternama berprofil tinggi.

 

Ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah Datuk Kamaruddin Zakaria berpendapat, budaya rasuah ini sebenarnya telah dahulu disedari oleh Islam. Rasuah dalam perspektif hukum Islam adalah haram dan berdosa besar bagi sesiapa yang melakukan atau menerimanya.Islam mengharamkan perbuatan rasuah daripada pelbagai sumber dan segi. Mereka yang terjebak dalam budaya rasuah ini adalah mereka yang tamak untuk mengaut kekayaan demi kepentingan sendiri dengan jalan pintas. Mereka ini juga merupakan golongan yang sanggup menggadai nyawa, keluarga malah sanggup mengkhianati Negara semata-mata untuk memuaskan nafsu sendiri. Perbuatan rasuah adalah perbuatan yang  sangat keji dan tidak boleh dimaafkan. Pegharaman rasuah adalah jelas berdasarkan al-Quran dan Hadis. Allah SWT telah berfirman di dalam Al-Quran menerusi surah Al-Baqarah ayat 188 yang berbunyi:

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta orang lain diantaranya kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu ( memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta orang yang berdosa sedang kamu mengetahui (salahnya)”.

Jenayah ini juga jelas dikutuk dengan kerasnya oleh Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru, beliau berkata:

Bersabda Rasullullah SAW:”Allah SWT melaknat orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah serta orang yang memberikan jalan terhadap kedua-duanya.”

Berdasarkan dalil-dalil di atas jelas membuktikan Allah SWT melarang perbuatan keji ini. Jelaslah sudah, Allah SWT melaknat bukan sahaja kepada pemberi dan penerima rasuah malah ia turut membabitkan pihak ketiga yang bertindak sebagai perantara di antara si pemberi dan penerima. Maka sudah terang lagi bersuluh, mesej yang sangat jelas yang perlu diambil perhatian disini ialah natijah perbuatan rasuah ini sangat-sangat menakutkan iaitu laknat daripada Allah SWT. Laknat di sini bermaksud ialah mereka akan dijauhkan daripada rahmat dan  tidak mendapat keberkatan apatah lagi keampunan Rabbul Izzati. Sebagai umat Islam, keredaan dan keberkatan daripada Allah SWT perlu dititikberatkan dalam apa juga hal dan keadaan.

Kamaruddin berkata, jenayah rasuah ini diibaratkan seperti racun yang berada dalam makanan. Mereka tidak menyedari perbuatan rasuah itu akan menyebabkan institusi kekeluargaan menjadi hancur akibat daripada sumber pendapatan yang haram. Maka tidak hairanlah rasuah merupakan antara jenayah yang sangat berat seperti membunuh , minum arak dan sebagainya. Rasuah adalah perbuatan hina yang boleh menyebabkan tertolaknya ibadah yang kita lakukan saban hari seperti solat dan berdoa. Alangkah ruginya hanya disebabkan perbuatan rasuah, menyebabkan ibadah dan doa menjadi sia-sia sahaja, namun apa yang lebih mengerikan ia membawa kepada kemurkaan Allah SWT yang maha dahsyat.

Sama ada disedari atau tidak, mereka yang terlibat dengan jenayah ini sebenarnya akan merosakkan diri sendiri, keluarga, masyarakat, organisasi malah akan menghancurkan Negara. Ia sekaligus menyebabkan keadilan tidak dapat ditegakkan dalam Negara seperti pembahagian kekayaan Negara tertumpu kepada pihak tertentu sahaja, walhal mereka yang bersusah payah dan sebenarnya berhak ke atas sesuatu perkara itu hanya dipandang sepi.

Budaya rasuah boleh menghancurkan pentadbira sesebuah Negara. Natijahnya, ia membawa kepada permasalahan lain seperti kemerosotan ekonomi, ketidakstabilan politik dan masalah sosial yang kronik seperti yang berlaku di Filipina yang mencatatkan sejarah kejatuhan kerjaan Presiden Marcos dari tampuk kepimipinan disebabkan amalan rasuah berleluasa. Menurut Kamaruddin, antara kesan lain rasuah adalah perpecahan di kalangan masyarakat serta keretakan hubungan kerana salah satu punca rezeki yang barakah adalah melalui silaturrahim.

JIka kita perhatikan, jenayah rasuah merupakan maslaah sejagat dan tiada berkesudahan yang telah melanda senatero dunia. Jenayah keji ini memeri ancaman kepada kesatbilan Negara malah mengganggu gugat keharmonian rakyat jelata. Apabila seseorang individu sudah sebati dengan perbuatan rasuah itu, maka individu itu sebenarnya menjadi semakin renggang dengan rahmat dan kasih sayang Allah SWT.  Rasuah bukan sahaja mungkar di sisi agama Islam malah juga salah dari kaca mata masyarakat Melayu. Setiap agama bukan sahaja Islam, juga menolak rasuah.

Kamaruddin berkata, jenayah rasuah boleh dihapuskan dengan syarat semua pihak bekerjasama secara proaktif memeranginya. Justeru menurutnya lagi kaedah turun padang hingga ke peringkat akar umbi wajar dipraktikkan terutamanya oleh pemimpin masyarakat termasuk menteri, Ahli Parlimen, golongan alim ulama , penghulu, ketua-ketua kampong dan sebagainya yang menjadi penghubung masyarakat . Sesi penerangan bersama masyarakat juga perlu diperhebat agar masyarakat lebih memahami peranan mereka sekaligus yakin dengan keberkesanan SPRM.

Pemberi, penerima dan mereka yang bersubahat dengan rasuah adlah pengkhianat Negara. Sehubungan itu, pendidikan kepada pelajar sekolah perlu dititikberatkan agar jenayah yang makin membusung ini dapat dibanteras. Generasi dididik benci rasuah akan menjadi individu yang lebih bertanggungjawab, amanah dan ikhlas.

Beliau berkata, menjelaskan sebagai sebuah Negara Islam contohnya , usaha memerangi rasuah perlu dilakukan dengan lebih serius dan tekun. Namun segala usaha akan terbantut sekiranya jenayah rasuah masih terus membelenggu Negara. Beliau turut mencadangkan agar diwujudkan satu unit khas seperti di dalam perkhidmatan tentera iaitu Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) khusus untuk memberi pendedahan tentang buruknya rasuah kepada masyarakat di samping meningkatkan tahap profesionalisme SPRM melalui perkhidmatan keagamaan. Jenayah rasuah boleh dihapuskan kerana menurutnya seyiap kemungkaran atau kebatilan akan hancur dengan kebenaran. Sejarah telah membuktikan mereka yang terlibat dengan perkara mungkar tidak akan Berjaya. Sikap ‘jaga tepi kain orang’untuk tujuan kebaikan juga penting jika mahu membanteras jenayah rasuah.

Kamaruddin turut berpesan, untuk menjadi cemerlang, manusia perlu hayati enam perkara berikut; hayati hidup beragama, jaga keturunan, jaga akal fikiran, jaga maruah, jaga nyawa dan jaga harta. Oleh itu, marilah kita tingkatkan integriti dan menjunjung amanah degan penuh tanggungjawab demi merealisasikan aspirasi Negara. Islam amat menitikberatkan rezeki yang halal. Rezeki yang diperoleh secara rasuah adalah haram dan berdosa besar. Sesungguhnya, perbuatan rasuah amat keji dan hina di sisi Islam malah mereka akan menerima azab yang sangat pedih sebagaimana hadis yang diriwayatkan Ibnu Umar r.a yang bermaksud :”Bersabda Nabi Muhammad SAW: Penerima dan pemberi rasuah akan masuk ke dalam neraka”.

Artikel sumbangan SPRM: Siti Nor Khalilah Abdullah Halim
photo credit: The.Comedian via photopin cc