SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH, Berdirinya saya di atas mimbar ini untuk memberi sedikit peringatan buat diri saya dan para jemaah sekalian kerana kita manusia seringkali lupa dan alpa akan tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi ini. Bersamalah kita meningkatkan taqwa kepada Allah S.W.T, dengan mentaati segala perintahnya dan menjauhi segala larangannya. Sesungguhnya kebahagian dunia dan kesejahteraan akhirat hanyalah ditentukan oleh iman dan taqwa. Mimbar hari ini ingin menarik perhatian para jemaah mengenai satu tajuk iaitu Persediaan Menjadi Tetamu Allah.

 

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH, Menunaikan ibadat haji merupakan rukun Islam yang kelima. Ianya wajib dilaksanakan bagi mereka yang berkemampuan. Bagi mereka yang terpilih untuk melaksanakan ibadat haji pada tahun ini, minbar mengucapkan tahniah dan mudah-mudahan kesemuanya mendapat haji mabrur. Minbar menasihatkan agar kesemua jemaah haji sentiasa menyedari bahawa ibadat haji ini perlu dilakukan dengan seikhlas hati untuk mencari keredhaan Allah S.W.T dan bukannya untuk tujuan yang lain. Sedarlah dan insaflah, sesungguhnya ibadat haji ini merupakan satu ibadat yang sukar dan memerlukan pengorbanan yang tinggi serta perbelanjaan yang besar semata-mata untuk menyahut panggilan Allah S.W.T. Persediaan yang lengkap dari sudut mental dan fizikal perlulah ada pada setiap jemaah haji sebelum berangkat ke Tanah Suci. Segala pantang larang semasa dalam ihram hendaklah dijaga dengan sebaik mungkin.

Allah S.W.T berfirman dalam Al-Quran di dalam Surah Al- Maidah ayat 95:

 “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu membunuh binatang-binatang buruan ketika kamu sedang berihram. Dan sesiapa di antara kamu yang membunuhnya dengan sengaja, maka dendanya (menggantinya) dengan binatang ternak yang sama dengan binatang buruan yang dibunuh itu, yang ditetapkan hukumnya oleh dua orang yang adil di antara kamu, sebagai hadiah yang disampaikan ke Kaabah (untuk disembelih dan dibahagikan kepada fakir miskin di Tanah Suci), atau bayaran kaffarah, iaitu memberi makan orang-orang miskin, atau berpuasa sebanyak bilangan cupak yang diberikan kepada orang miskin; supaya dapat ia merasai kesan yang buruk dari perbuatannya. Allah maafkan apa yang telah lalu; dan sesiapa yang mengulangi (kesalahan itu) maka Allah akan menyeksanya; dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Berkuasa membalas dengan azab seksa. “

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH, Bagi mendapat haji mabrur bukanlah mudah seperti yang disangka. Ianya memerlukan ketabahan, kesabaran, kesungguhan,keikhlasan dan pengorbanan yang tinggi bagi mendapatkannya. Beruntunglah kepada sesiapa yang berjaya mendapat haji mabrur kerana ganjaran yang diberikan oleh Allah S.W.T ialah syurga. Sabda Rasulullah S.A.W:

“Haji yang mabrur tidak ada balasan yang setimpal melainkan balasan syurga”. (Sahih Bukhari)

Di antara tanda haji mabrur ialah seorang muslim beristiqamah selepas hajinya dengan ketaatan kepada Allah S.W.T dan keadaan dirinya lebih baik selepas haji berbanding sebelumnya. Inilah antara tanda penerimaan ketaatan. Menurut setengah Salaf as-Solih: “Tanda haji mabrur ialah kebaikan kepadanya bertambah selepas haji dan tidak lagi berbuat maksiat setelah kembalinya”. Menurut Hassan al-Basri: “Haji yang mabrur ialah ia kembali menjadi orang yang zuhud di dunia dan gemarkan akhirat”.

Ini kerana di dalam haji terdapat latihan dan pendidikan kepada tingkahlaku seseorang. Di dalam ibadat ini mampu mengembalikan para jemaah haji nilai kesabaran, sedia menanggung kesukaran, akhlak terpuji..seperti lemah lembut, rendah diri, sopan santun, baik perkataan, berbudi pekerti, murah hati, berkata benar, tidak mengumpat, tidak bermusuh, tidak bercakap besar dan sebagainya. Ibadat haji juga boleh mengembalikan ikatan ukhwah, dapat berkenalan sepanjang bermusafir, bergaul mesra dan menyuburkan ruh kemasyarakatan di dalam sanubari setiap jemaah haji. Hebatnya kurniaan yang diberikan oleh Allah S.W.T kepada para jemaah haji seperti seolah-olah baru dilahirkan dari perut ibunya dengan memulakan lembaran yang baru di dalam hidupnya, yang bersih, suci dan murni. Di dalam jiwanya mengandungi potensi besar untuk melangkah dengan langkah kejayaan di dalam hidupnya dengan Allah, dirinya dan manusia sejagat.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH, Minbar menggariskan beberapa panduan kepada jemaah haji berkenaan tentang persediaan dan persiapan sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Pertama: Duit yang diperolehi bagi mengerjakan ibadat haji mestilah dari sumber yang halal. Jangan dicemarinya walaupun dengan perkara-perkara yang syubhah sekalipun.

Kedua: Pastikan juga segala hak-hak syarak telah ditunaikan seperti menunaikan zakat, nafkah kepada mereka yang berhak, di samping melangsaikan segala hutang sesama manusia.

Ketiga: Lengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang diperlukan untuk menunaikan ibadat haji dan perkara-perkara sampingan seperti cara menunaikan solat jama’ dan qasar, zikir-zikir yang perlu diamalkan semasa menunaikan haji dan adab-adab semasa berada di Tanah Suci, di Masjidil Haram mahupun di Masjid Nabawi.

Keempat: Mohonlah restu dan doa dari kedua ibu bapa sebelum berangkat ke Tanah Suci sekiranya mereka masih hidup. Sebagaimana firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Isra’ ayat 23:

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

Kelima: Ziarahilah kaum kerabat sebelum berangkat dan pohonlah kemaafan antara satu sama lain.

Keenam: Perbanyakkan taubat kepada Allah S.W.T agar hati bersih dan suci dari gangguan dosa-dosa yang pernah dilakukan. Sekiranya taubat memerlukan kepada memulangkan hak-hak orang lain, maka lakukanlah, demi untuk menjadikan hati lebih tenang dan lapang semasa menunaikan ibadat haji.

Ketujuh: Redhalah apa jua qada’ Allah S.W.T dalam apa jua ujiannya sama ada bagi diri sendiri atau bagi orang yang ditinggalkan sepanjang berada di perantauan.

Kelapan: Sepanjang berada di Tanah Suci, hindarkanlah diri dari bertengkar, melakukan perbuatan fasik , mengganggu orang lain dan seumpamanya. Semaikanlah sikap suka memaafkan orang lain dan bertoleransi pada setiap masa.

Kesembilan: Para jemaah haji hendaklah sentiasa mengambil peluang untuk membaca Al-Quran sebanyak mungkin, memperbanyakkan amalan sunat seperti berzikir dan ber’iktikaf.

Kesepuluh: Para jemaah haji hendaklah menjaga tahap kesihatan mereka sebaik mungkin sama ada sebelum perjalanan, semasa perjalanan mahupun selepas perjalanan menunaikan ibadah haji. (Surah Ali I’mran : 97)

Khutbah sumbangan JAIM
photo credit: Lando Mikael via photopin cc