Bagi pelajar-pelajar lepasan SPM, STPM, STAM, Diploma, Matrikulasi/ Asasi dan SKM ini adalah masa yang ditunggu-tunggu untuk membuat permohonan bagi melanjutkan pelajaran ke menara gading. Bagi kebanyakan pelajar, keputusan yang dibuat ketika memohon adalah peluang yang mungkin datang sekali seumur hidup. Setelah berhempas pulas menghadapi peperiksaan,  tentu anda ingin memastikan bahawa kursus yang dipilih adalah kursus yang benar-benar menepati minat dan keperluan.

Disinilah bermulanya alam dewasa anda dimana ia menuntut anda untuk membuat keputusan yang akan mempengaruhi gaya hidup anda pada masa hadapan. Jika zaman persekolahan anda hanya dipenuhi dengan cara-cara untuk menjawab peperiksaan sahaja, anda tentu akan terpinga-pinga untuk memilih kursus. Begitu juga senarionya sekiranya anda leka di zaman persekolahan, anda juga akan terpinga-pinga untuk memilih kursus. Bezanya anda tidak mempunyai pilihan yang luas kerana syarat minimum atau tidak layak mengikuti kursus yang mungkin anda idamkan.

Mengapa anda perlu merancang dengan teliti untuk mengisi borang ini?

Pemilihan kursus peringkat ini merupakan titik tolak kepada permulaan kerjaya anda kelak. Sekiranya tersalah pilih, anda akan:

  • Menyesal kerana kursus yang dipilih tidak menepati citarasa, minat dan pilihan

  • Meneruskan pengajian tanpa motivasi yang tinggi, hanya sekadar untuk lulus periksa dan menggenggam ijazah sahaja.

  • Mempengaruhi emosi, motivasi dan matlamat asal sehingga boleh menyebabkan penyakit-penyakit emosi lain timbul seperti resah, hilang keyakinan diri

  • Membazir wang ibu-bapa atau menanggung hutang yang tidak perlu ( PTPTN) pada masa hadapan

  • Membazir masa dan tenaga untuk menukar kursus yang kadangkala sukar

  • Menjadi pak turut dan ‘go with the flow’ akibat kurang pemahaman mengenai mengapa anda mengikuti kursus itu atau anda hanya ingin melanjutkan pelajaran kerana takut menjadi ejekan rakan-rakan waima kursus yang tidak diminati yang ditawarkan pun diambil juga

 

Langkah-langkah yang patut anda lakukan sebelum mengisi borang UPU tersebut?

Tips-tips yang boleh digunapakai untuk memilih kursus di dalam borang UPU:

  • Jika anda telah menjalani ujian kerjaya – luangkan masa untuk menyenaraikan 10 pilihan terbaik kursus yang ingin diikuti. Senaraikan bersama prospek kerjaya bagi kursus, sijil atau pengiktirafan yang diperlukan untuk kerjaya tersebut, kebolehpasaran graduan yang mengikuti kursus, jangkamasa kursus akan habis, gaji (sekiranya ada) serta universiti yang menawarkan kursus tersebut. ( Contoh borang 10 pilihan terbaik)

  • Anda juga perlu mengambil kira beberapa faktor lain contohnya bagi pelajar lepasan SPM – yang mana lebih sesuai samada mengikuti program Diploma, STPM atau Program Asasi /Matrikulasi. Faktor sumber kewangan samada kursus yang disenaraikan itu menawarkan biasiswa, pinjaman, atau yuran pengajian yang percuma.

  • Setelah anda betul-betul yakin dengan pilihan yang terbaik ini, gunakannya untuk mendapatkan maklumat mengenai kursus tersebut melalui internet- laman web universiti, atau Karnival-karnival kerjaya

  • Jika berpeluang, sertai program ‘ job shadow’ yang ditawarkan oleh pihak syarikat bagi prospek kerjaya yang anda senaraikan bagi membantu anda membuat eksplorasi samada alam kerjaya tersebut yang anda inginkan atau tidak. Aktiviti ini juga boleh dilakukan apabila anda telah menerima tawaran dan menanti kemasukan pada bulan September nanti.

  • Pastikan kesemua kursus ini tidak lari dari minat sebenar anda. Sekiranya anda ditawarkan pilihan kesepuluh sekalipun anda masih bermotivasi untuk meneruskan pengajian tersebut kerana anda telah lakukan ‘kerja rumah’ terlebih dahulu.

  • Selain itu, anda juga perlu bijak dan membuka minda dengan memohon program-program yang ditawarkan oleh pihak MARA, IPTS yang bertauliah serta program penajaan luar negara (bagi pelajar yang memiliki keputusan yang cemerlang) Bahagian biasiswa bulan ini menyenaraikan peluang pinjaman dan separa biasiswa MARA dan JPA. Hampir semua orang mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran samada dalam bidang akademik, professional, kemahiran , atau teknikal. Bagi mereka yang gagal dalam SPM, gagal sekali bukanlah bermakna gagal selamanya. Anda digalakkan untuk mencuba lagi dan mengambil peperiksaan tersebut.

 

Di mana anda boleh mengisi borang ini?

Permohonan boleh dibuat online dan anda hanya perlu membeli PiN no di Bank Simpanan Nasional. Permohonan juga mengambil kira semakan kelayakan akademik secara ‘real time’ bagi memudahkan anda mengetahui kursus yang boleh diikuti menurut keputusan peperiksaan. Program-program pengajian pula hanya akan bermula pada bulan September. Bagi anda yang tidak berpeluang menjalani ujian inventori atau ujian minat kerjaya, anda masih berpeluang menjalani ujian ini secara online melalui laman web yang disediakan oleh Uitm. Ujian minat kerjaya ini merupakan ujian berdasarkan penggunaan teori Holland. Ia merupakan alat ukur psikologi yang dibina untuk mengukur 6 pola minat kerjaya iaitu Realistik, Investigatif, Artistik, Sosial, Keusahawanan (Enterprising) dan Konvensional. Tiada had masa yang ditetapkan untuk mengambil alat ukur minat kerjaya ini. Walaubagaimanapun, purata masa yang digunakan untuk mengambil alat ukur ini ialah di antara 10 hingga 15 minit sahaja. Anda dikehendaki menjawab semua soalan yang dikemukakan dengan jujur dan ikhlas memandangkan tiada jawapan yang “BETUL atau “SALAH” Anda sebaiknya memberikan jawapan yang pertama kali terlintas dalam fikiran.Terdapat empat (4) kategori dalam soalan profil minat kerjaya ini iaitu; Kesukaan, Kecekapan, Pekerjaan dan Penilaian Kendiri. Keputusan yang dipaparkan merupakan teori cadangan minat anda dan kursus-kursus yang sejajar dengan minat serta kelayakan akademik. Ujian minat kerjaya ini amat digalakkan bagi mengetahui tentang minat diri sendiri. Di peringkat sekolah, anda boleh melakukan ujian inventori ini melalui unit bimbingan dan kaunseling.

Permohonan kemasukan ke IPTA

https://online.mohe.gov.my/upu/onlineupu/index.php?jentransaksi=1

Anda boleh membuat semakan kelayakan akademik untuk menyemak kesesuaian pencapaian akademik dengan kursus yang ditawarkan oleh IPTA. Semakan itu boleh dibuat melalui :

http://imascu.upu.mohe.gov.my/anjung.cfm

Bagi anda yang ingin menyemak kesesuaian minat, anda juga boleh mengambil ujian minat kerjaya yang disediakan oleh laman web uitm selangkah:

http://www.selangkah.uitm.edu.my/ujian-minat-kerjaya.cfm

 

Masa ‘cuti’ yang anda perolehi setelah tamat persekolahan atau program diploma sebaiknya digunakan untuk mendapatkan maklumat dan membuat persediaan untuk menghadapi kehidupan sebagai warga IPT dan merancang masa depan mengenai prospek kerjaya anda. Percayalah masa yang lama itu sebenarnya singkat dan anda tidak boleh hanya duduk bergoyang kaki sementara menunggu tawaran tiba. Realitinya, masa ini jugalah sepatutnya digunakan untuk mempelajari kemahiran-kemahiran kehidupan iaitu memasak, mengurus rumah dan kewangan tidak kiralah sama ada anda lelaki atau perempuan.

Akhir sekali, kami mengucapkan dan mengharapkan yang terbaik buat anda. Peluang ini janganlah disia-siakan dan semoga sukses menemui anda di penghujungnya.

Wallahu a’lam