Semua ibubapa kalau ditanya sudah tentu  inginkan anak-anak kita berjaya dengan cemerlang  di dunia dan Akhirat.

Persoalannya adakah kita sudah mempunyai satu ‘master plan’ iaitu perancangan pendidikan dan kerjaya untuk anak-anak kita?

Suka atau tidak ibubapa dan pelajar perlu membuat keputusan seperti Persoalan di bawah

(saya tinggalkan persoalan ini untuk diteroka dan direnungi sedalam-dalamnya. Keputusan yang kita buat perlu juga mengambilkira kadar pertumbuhan penduduk yang semakin meningkat dari tahun ke tahun persaingan semestinya menjadi hebat untuk merebut peluang biasiswa, pengajian, dan pekerjaan begitu juga dengan kadar pengangguran termasuk dikalangan yang  berpendidikan tinggi.)

(Audio mengenai persiapan pelajar)

Sila muat-turun Quicktime Player sekiranya anda tidak dapat mendengar audio

 

Ungkapan yang sering kita dengar iaitu “kita hanya merancang dan Allah yang menentukan” sepatutnya menjadikan kita lebih bermotivasi dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan kecemerlangan diri dan keluarga. Tambahan pula, kita bukan hanya sekadar merancang tetapi perlu merealisasikan perancangan yang dibuat dengan kesungguhan untuk melaksanakannya

Dalam usaha membangunkan perancangan strategik untuk masa depan anak-anak, kita perlu mengambil maklum berkenaan dengan perubahan-perubahan semasa dan trend.  Perancangan sedia ada juga perlulah flexible agar setiap keputusan yang dibuat dan dilaksanakan kekal rasional dan valid. Misalnya pemilihan bidang pengajian mengikut keperluan pasaran semasa dan akan datang.  Perkara yang paling tidak diingini apabila berlakunya lambakan tenaga kerja melebihi tawaran pekerjaan yang akhirnya menyebabkan pengangguran.

Saya sentiasa mengingatkan diri saya bahawa usaha itu adalah hak dan dalam kawalan saya InsyaAllah. Manakala ketentuan samada menang atau kalah, berjaya atau gagal, untung atau rugi itu adalah hak Allah. Justeru itu mari kita sama-sama berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan hak dan tanggungjawab kita dan kemudiannya kita bertawakkal kepada Allah dengan keyakinan sepenuhnya.

Lanjutan dari bulan yang lepas saya paparkan keperluan penjadualan harian sebagai satu disiplin diri untuk berjaya. Bulan ini saya paparkan pendekatan milestone (perbatuan) dengan menggunakan Gantt Chart. Walaupun terminologi atau perkataan agak janggal bagi sesetengah ibubapa, namun ianya hanyalah perkataan, sedangkan apa yang dimaksudkan sememangnya telah menjadi amalan seharian dan generasi kita yang terdahulu.

Perjalanan yang jauh dimulakan dengan langkah pertama.
Mulakan dengan ‘milestone’ masa untuk diri sendiri dari sekarang.

Misalnya dalam konteks penanaman padi, sejak dari dahulu lagi mereka telah membuat milestone ini tetapi tidak direkodkan dan didokumenkan secara terperinci di atas kertas. Misalnya bila waktu membajak, menyemai, membaja, dan menuai. Kesemua ini memerlukan perancangan yang rapi dan peralatan yang mencukupi untuk menjayakan projek penanaman padi. Perbezaaannya pada masa sekarang ianyanya diberi gelar dengan nama saintifik dan akademik agar mudah difahami dan ditambah dengan peralatan moden. Walau apa pun peralatan baru yang diperkenalkan  proses membajak, menyemai, membaja & meracun, dan menuai tetap dilakukan sama seperti generasi kita yang lalu. Dengan yang demikian kita tidak seharusnya rasa kerdil dengan penggunaan bahasa saintifik atau akademik yang baru jika maksudnya sama dengan apa yang telah kita amalkan tanpa disedari. Oleh itu saya harap pemakaian istilah milestone (perbatuan) dan gantt chart dapat diterima dengan minda yang terbuka agar intipati sebenar amalan perancangan secara sistematik ini dapat difahami sepenuhnya.

Mendokumenkan perancangan kepada anak-anak kita ini adalah penting untuk memberi bayangan yang jelas dan membantu anak kita memahami proses yang bakal dilaluinya. Bermula dari proses yang divisualkan ini anak tersebut akan mula mempunyai kesedaran peri pentingnya masa dan persiapan untuk melaluinya. Di Negara barat milestone ini juga telah diaplikasikan secara meluas dalam mendokumenkan pembangunan kanak-kanak sejak dilahirkan dari segi pembangunan fizikal, emosi, spiritual, dan mental.

Seringkali kita memperuntukkan masa dan wang ringgit untuk mendapatkan nasihat ketika merancang untuk membeli rumah, bercuti, dan seumpamanya.

Persoalannya:

Adakah kita telah memperuntukkan masa yang sama untuk merancang kerjaya masa depan anak-anak kita?

Carta perbatuan ini hanya memaparkan deraf perlaksanaan sesuatu pembelajaran atau ulangkaji sebagai satu projek yang perlu dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan. Apa yang penting adalah keyakinan diri dan berusaha dengan bersungguh-sungguh. Namun pelajar perlulah bijak mengatur masa dengan mengamalkan penjadualan harian yang telah dipaparkan pada keluaran yang lalu.

Kombinasi penjadualan harian dan milestone ini diyakini dapat membantu pelajar untuk :

1. Membuat penjadualan secara terancang dan sistematik sebagai persediaan menghadapi peperiksaan.

2. Membantu pelajar mengenalpasti topik bagi setiap subjek yang masih belum dikuasai.

3. Membantu pelajar menguruskan masa dengan lebih berkesan.

4. Melatih pelajar lebih berdisiplin dan melaksanakan tanggungjawab dengan lebih bertanggungjawab.

5. Format yang sama pelajar boleh adaptasikan untuk mengejar cita-cita dengan menggariskan cabaran yang perlu dilalui dan menetapkan target universiti, biasiswa pilihan sebagai sumber inspirasi agar lebih bersemangat dan berkeyakinan.

6. Ibubapa juga dapat memantau dengan mudah status terkini pembelajaran pelajar dan berupaya mengambil langkah awal jika pelajar masih belum menguasai sesuatu topik atau sebarang permasalahan jika ada.

Audio motivasi dan iktibar daripada sejarah islam disampaikan oleh Ustaz Abdul Mutalib b. Maarof

Sila muat-turun Quicktime Player sekiranya anda tidak dapat mendengar audio

 

 

Wallahu A’lam