Di dalam rencana yang lepas, kita lebih banyak menumpukan tentang kemahiran belajar iaitu teknik ‘bacaan pantas’. Di dalam merancang kerjaya, tumpuan bukan sahaja dilakukan apabila kita hendak melangkah masuk ke alam pengajian tinggi. Sepatutnya, ia juga dilakukan ketika kita mula hendak menjejakkan kaki ke tingkatan 4 dalam sistem pendidikan Malaysia.

 

Sejak tahun 2000, sistem yang diguna-pakai untuk Sijil Pelajaran Malaysia telah berubah dan tidak lagi mementingkan agregat. Ia digantikan dengan gred A, B, C dan seterusnya untuk setiap mata pelajaran. Mata pelajaran yang diambil pula adalah bersifat lebih terbuka di mana pelajar boleh memilih subjek yang bersesuaian dengan minat dan kemampuan. Walaubagaimanapun, disebabkan transformasi yang dijalankan, bukan semua semua sekolah menawarkan semua mata pelajaran dan bukan semua tempat menyediakan kemudahan yang cukup.

 

Oleh itu , ia juga bergantung kepada kebijaksanaan pelajar dan ibu-bapa untuk menyusun atur strategi dalam pemilihan subjek. Justeru, kita tidak boleh hanya bergantung kepada cadangan guru berdasarkan keputusan PMR / PT3 yang sedia ada. Peranan ibu-bapa penting dalam menunjuk arah dan memberi cadangan kepada anak-anak mereka. Ibu-bapa boleh membantu anak-anak mereka mengenal potensi diri dan mengenal bakat dan minat melalui ujian-ujian psikologi dan kaunseling. Ujian-ujian ini boleh diambil di sekolah melalui jabatan kaunseling sekolah. Kita juga perlu bijak mengatur strategi agar tidak tersalah pilih. Contohnya jika kita ingin menjadi jurutera atau doktor, sememangnya mata pelajaran yang perlu diambil di peringkat SPM ialah subjek-subjek sains tulen seperti Kimia, Fizik dan Biologi serta Matematik Tambahan. Oleh sebab itu, adalah penting juga untuk kita mengetahui subjek-subjek dan syarat-syarat kemasukan ke universiti dan institut pendidikan yang diingini supaya memudahkan kita untuk mencapai sasaran kursus yang diinginkan.

Sememangnya perancangan yang teliti sangat diperlukan kerana di Malaysia kini terlalu banyak persaingan untuk memasuki universiti dan mendapat biasiswa. Selain itu kita juga perlu memahami pasaran pekerjaan masa kini. Menurut Hairunnaja (2005), terdapat jurang yang besar dalam peluang pekerjaan antara bidang kemahiran, teknikal dan sains (sains tulen, sains gunaan dan teknologi maklumat) dengan bidang sastera, sains sosial dan kemanusiaan. Hal ini demikian kerana Malaysia merupakan negara membangun dan memerlukan lebih ramai profesional dan pekerja dalam bidang sains dan teknologi. Menurutnya lagi, graduan yang mengikuti kursus kategori sastera, sains sosial dan kemanusiaan mempunyai peluang pekerjaan yang terhad dan mempunyai persaingan yang tinggi kerana bidang ini merupakan bidang yang umum yang boleh dipelajari oleh semua orang. Selain itu, hasil graduan di Malaysia yang masih belum seimbang dan lebih banyak mengeluarkan graduan sains sosial, kemanusiaan dan sastera menjadi punca kepada persaingan sengit. Hasilnya tentulah ramai yang masih menganggur kerana tertunggu-tunggu tawaran pekerjaan yang terhad dan bersesuaian dengan ijazah yang dimiliki.

Justeru, pemilihan subjek peringkat tingkatan 4 juga sudah perlu untuk memandang jauh kehadapan tentang situasi-situasi yang bakal dihadapi masa hadapan. Berikut disenaraikan subjek peringkat SPM yang boleh dipilih, sekolah-sekolah yang menawarkannya dan kesesuaian kursus yang boleh diikuti di peringkat pendidikan lanjutan.

Jadual (Pakej SPM dan pemilihan Bidang pengajian di IPTA )

Matapelajaran wajib : Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris , Pendidikan Islam / Moral, Sejarah, Matematik, Sains

Pakej
Bidang pengajian yang boleh dipilih di IPT
Pakej 1A (Sains Tulen)Mata pelajaran wajib (kecuali Sains) + Matematik Tambahan + 2 atau 3 matapelajaran Sains Tulen  Sains, sains gunaan, perubatan, pergiggian, kejuruteraan, teknologi maklumat, sains matematik, teknologi polimer, kimia industri, sains makanan , sains computer, pendidikan, arkitek, teknologi tekstil, mikrobiologi, farmasi, ukur bahan dan perakaunan
Pakej 1B (Sastera Ikhtisas)Mata pelajaran wajib + Matematik tambahan (kecuali sains) + 2 matapelajaran sastera ikhtisas  Perakaunan, ekonomi, perdagangan, pendidikan, pentadbiran perniagaan
Pakej 1C (Pengajian Islam)Matapelajaran wajib (kecuali pendidikan Islam) + 2 mata pelajaran pengajian Islam + Bahasa Arab Tinggi  Pengajian Islam, usuludin, perundangan Islam, bahasa Arab, kesusateraan Arab , dakwah
Pakej 1D (sains tambahan )Matapelajaran wajib + Matematik tambahan + sains tambahan  Sains sukan, sains dengan pendidikan, kejuruteraan (dioloma), sains computer, sains matematik, perakaunan
Pakej 1E (Vokasional)Mata pelajaran teras + 3 mata pelajaran vokasional  Bidang vokasional bergantung pada pakej berkaitan
Pakej 1F (Kemanusiaan)Mata pelajaran wajib + 2 atau 3 mata pelajaran kemanusiaan  Teknologi maklumat, kejuruteraan perisian, analisis sistem
Pakej 1G (Teknologi Maklumat)Mata pelajaran wajib + Matematik tambahan + sebahagian mata pelajaran sains tulen+ teknologi maklumat  Sejarah, geografi, sains social, perundangan, bahasa dan kesusasteran Melayu / Inggeris, pendidikan
Pakej 2A (Sains Tulen – Teknologi )Mata pelajaran wajib (kecuali sains)  + 2 matapelajaran sains tulen + satu matapelajaran teknologi  Sains, sains gunaan, kejuruteraan, teknologi maklumat, sains matematik, teknologi polimer, kimia industri, sains makanan , sains computer, pendidikan, arkitek, teknologi tekstil, mikrobiologi, farmasi, ukur bahan dan perakaunan, perdagangan
Pakej 2B (Sains Tulen – Sastera Ikhtisas)Mata pelajaran wajib (kecuali sains)  + 2 matapelajaran sains tulen + satu matapelajaran sastera ikhtisas  Pelbagai bidang sains dan teknologi , perakaunan, ekonomi, perdagangan
Pakej 2C (Pengajian islam – Sastera Ikhtisas)Mata pelajaran wajib (kecuali pendidikan islam)  + Matematik tambahan +  2 matapelajaran pengajian islam + satu matapelajaran sastera ikhtisas  Pelbagai bidang pengajian agama , perundangan, perakaunan, pendidikan, ekonomi
Pakej 2D (sains tambahan-sastera ikhtisas)Matapelajaran wajib + Matematik tambahan + sains tambahan+ sastera ikhtisas  Sains, ,matematik. Perakaunan, ekonomi, pendidikan
Pakej 2E (Kemanusiaan-sastera ikhtisas)Mata pelajaran wajib + 2 atau 3 mata pelajaran kemanusiaan+ sastera ikhtisas  Geografi, pendidikan, muzik, perakaunan, ekonomi

Penawaran pakej berdasarkan keupayaan dan matlamat sekolah . Contohnya :

Sekolah Menengah Berasrama Penuh : Pakej 1A, 1G dan 2A

Sekolah Menengah Teknik : Pakej 1B, 1G dan 2A

Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional : Pakej 1B, 1E, 1G dan 2A

Sekolah Perdana dan kawalan : PAkej 1A, 1B, 1D, 1G, 2A, 2B, 2D, 2E

Sekolah Menengah Kebangsaan Agama :Pakej 1A, 1B, 1C, 1G, 2A,2B dan 2C

Sekolah Vokasional : Pakej 1E

Sekolah Menengah Biasa : Pakej 1A, 1B, 1D, 1F, 2A, 2B, 2D, 2E

(sumber Jadual : Mohd.Yahya & Muhammad Haizuan (2008))

Walaubagaimanapun, penerimaan masuk ke institusi pendidikan tinggi masih tertakluk kepada syarat-syarat yang dikehendaki dan berbeza mengikut standard universiti masing-masing. Ibu-bapa dan pelajar disarankan menjalankan kaji selidik dan seelok-eloknya berbincang dengan kaunselor, guru dan pihak sekolah mengenai pemilihan subjek peringkat tingkatan 4 bagi tujuan SPM nanti.