Langkah Awal Merangka Perancangan Kerjaya

Rata-rata menetapkan kriteria pemilihan pekerjaan adalah berdasarkan jaminan kerjaganjaran wang, kenaikan pangkat, dan pembangunan diri di dalam sesebuah organisasi. Hakikatnya kriteria pemilihan ini masih belum melengkapi istilah  kerjaya yang sebenar. Islam telah menganjurkan agar umatnya sentiasa beriman dan bertaqwa disamping menegaskan setiap pekerjaan adalah ibadah. Kemanisan bekerja sebagai satu ibadah inilah kemungkinan dapat menjiwai definisi kerjaya iaitu melakukan sesuatu kerja dengan minat dan keseronokan bekerja.

Merujuk kepada Teori Holland, langkah pertama dalam proses membina kerjaya adalah penilaian diri (self-assessment), Diyakini bahawa melalui penilaian kekuatan dan kelemahan diri akan membantu pelajar mengenalpasti kecenderungan minat dan keupayaan diri untuk menceburi bidang tertentu. Dalam konteks pelajar, untuk mencapai kerjaya impian perlu melalui beberapa proses misalnya keperluan menduduki peperiksaan pelbagai peringkat seperti upsr, pmr, spm, atau stpm di peringkat sekolah dan seterusnya ke peringkat institusi pengajian tinggi iaitu diploma, sarjana muda, sarjana, dan doktor falsafah. Disepanjang proses ini pelajar akan dinilai dan kemudiannya akan dikelaskan mengikut pencapai prestasi peperiksaan yang telah diperolehi. Umumnya pengkelasan mengikut prestasi ini akan mempengaruhi persepsi penilai atau masyarakat ke atas pelajar ini dan kebiasaannya kekal sehingga prestasi baru dicipta.

Curicullum vitae (cv) atau resume adalah dokumen ringkas yang memaparkan maklumat peribadi seseorang seperti kelayakan pendidikan, pengalaman, kemahiran, minat, pencapaian, dan penglibatan aktiviti sosial. Kemahiran penulisan cv amat penting untuk merekodkan pencapaian akademik dan penglibatan aktiviti sosial  untuk diambilkira sebagai nilai tambah (value added). Dengan yang demikian, adalah disarankan agar pelajar atau individu mula memberi perhatian serius pada kriteria penulisan cv dan membuat analisa pasaran mengikut bidang samada setanding atau perlu penambahbaikan. Kemahiran penulisan cv adalah satu kelebihan yang amat penting terutama semasa membuat permohonan melanjutkan pelajaran atau pekerjaan. Justeru itu, ibubapa dan guru boleh memainkan peranan menjelaskan kepada pelajar agar berusaha bersungguh-sungguh serta memperkemaskan kualiti kandungan di dalam curriculum vitae.

Akhir sekali, pelajar dengan dibimbing oleh ibubapa, dan guru perlu seimbangkan pencapaian intelek, spritual, mental, fizikal, dan emosi untuk bersaing merebut peluang yang sememangnya terhad. Peluang yang ada akan lebih memihak kepada mereka yang sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dan bijak merancang strategi. Diyakini dengan pendedahan secara cv ini akan membantu pelajar untuk lebih bermotivasi dan bersaing bagi merebut peluang ke sekolah, kolej, atau institusi pengajian tinggi yang terbaik dan ternama.

Kesimpulannya, penguasaan yang tinggi dalam kemahiran menulis cv secara positifnya akan dapat membantu pelajar untuk memasarkan diri agar kelihatan lebih berdaya saing. Tambahan, melalui pendedahan cv secara naturalnya pelajar akan mula sedar keperluan merancang masa depan dan akan mula membina kekuatan dan kelebihan diri untuk mencapai kecemerlangan dan berdaya saing.  Dengan ini, proses mengenal akan kekuatan, kelemahan, minat serta kecenderungan diri secara positifnya akan memudahkan proses pilihan kerjaya yang sesuai dilakukan dan insyaAllah mencapai tahap kepuasan yang optima.

Wallahu a’lam.

Laman Web untuk contoh pembinaan ‘Resume’ boleh didapati di :

http://www.wisegeek.com/what-is-a-resume.htm

http://jobsearch.about.com/cs/curriculumvitae/f/cvresume.htm

Photo Credit : phasinphoto @freedigitalphotos.net