Pembaca sekelian, kesinambungan daripada artikel bacaan pantas yang disiarkan dalam keluaran November lalu, disiarkan pula teknik untuk menambah bilangan perbendaharaan kata atau kosa kata. Kajian yang dilakukan menunjukkan bahawa penguasaan dan pemahaman terhadap perbendaharaan kata yang tinggi adalah diantara ciri penting bagi meningkatkan kejayaan seseorang dalam kerjayanya. Penguasaan perbendaharaan kata yang tinggi juga menunjukkan kekuatan dan ciri-ciri kewibawaan yang membawa kepada kejayaannya dalam hidup dan interaksi seharian. Perbendaharaan kata amat penting bagi kita untuk memahami apa yang dibaca. Justeru, proses penambahan bilangan perbendaharaan kata dalam kamus peribadi kita sangat perlu samada dalam Bahasa Melayu ataupun Inggeris.

Merujuk kepada kajian-kajian yang telah dijalankan, beberapa teknik boleh dipraktikkan oleh pelajar baik di peringkat rendah, menengah atau dewasa. Berikut disenaraikan teknik-teknik untuk menambah perbendaharaan kata anda:

1-      Teknik penghuraian

Apabila anda menemui satu pekataan baru yang tidak difahami , anda akan menggunakan kamus untuk mencari maksudnya. Maksud yang diterangkan adakalanya jelas dan tidak. Anda mungkin terlupa dengan hanya membaca maksudnya sahaja. Disini anda perlu mencari contoh-contoh ayat bagi perkataan tersebut dalam konteks yang berlainan. Sinonim (perkataan yang sama makna) dan antonim (perkataan lawan) juga membantu untuk anda memahami perkataan baru tersebut . Yahya Othman (2008) juga menggariskan teknik yang sama di mana pelajar perlu mengarang beberapa ayat menggunakan perkataan tersebut dan disemak oleh guru dan pengajar tentang penggunaannya.

 

2-      Teknik pengulangan

Teknik pengulangan atau latih tubi. Menurut Yahya Othman (2008) pelajar perlu menyebut perkataan yang sukar tersebut berulang kali dan menulisnya semula agar mereka dapat mengingat dengan lebih baik lagi. Melalui pengamatan dan pemerhatian, saya dapati bahawa pelajar yang diberi makna perkataan dan diminta menulis berulang-ulang setiap hari sebanyak 5 hingga 10 kali bagi setiap perkataan selama seminggu dapat mengingat terus perkataan yang dipelajarinya untuk jangka masa yang panjang.

 

3-      Teknik membaca dan merakam

Sesetengah orang belajar dengan lebih cepat melalui pendengaran. Tambahan pula, proses pembacaan sahaja tidak mencukupi kerana kadangkala kita sering ‘meninggalkan’ beberapa perkataan semasa membaca supaya cepat habis. Selain itu melalui proses pendengaran kita akan mengetahui cara perkataan itu disebut dengan betul. Oleh itu proses pembacaan dan mempelajari perkataan baru wajar dibantu dengan alat pendengaran. Pelajar boleh didedahkan dengan alat rakaman untuk merakam perkataan yang baru dipelajari. Perkataan tersebut boleh didengari secara berulang-ulang untuk mencapai keberkesanan dalam mengingat perkataan.

 

4-      Teknik permainan

Teknik permainan sangat membantu dan cara yang paling efektif untuk menarik minat mempelajari perkataan baru. Permainan tradisi seperti Scrabble, Boggle dan ‘Crossword’ untuk Bahasa Inggeris dan Sahibba serta teka silang kata bagi Bahasa Melayu. Kini, dengan bantuan internet, permainan perkataan secara online tumbuh bak cendawan dan tersedia secara percuma. Diantara permainan perkataan di laman web ( Bahasa Inggeris ):

 

Yahoo games http://games.yahoo.com/word-games

Word games : http://www.wordgames.com/

Scrabble : http://www.isc.ro/

Crossword puzzle : http://www.crossword-puzzles.co.uk/

 

5-      Teknik penggunaan kad perbendaharaan kata

Menurut Yahya Othman (2008), dengan menggunakan kad catatan yang sesuai, perkataan baru tersebut boleh di tulis di atas kad beserta makna dan contoh penggunaan ayat. Kad-kad yang telah dibuat dalam bentuk catalog boleh disimpan dalam kotak dan digunakan untuk menguji pemahaman perkataan di antara pelajar dan rakan-rakannya atau orang yang boleh membantu seperti ibu-bapa, adik – beradik dan jiran.

 

6-      Teknik ‘imagery’ atau menghubungkan perkataan dengan rupa bentuk fizikal

Teknik imej mental sangat membantu sekiranya perkataan tersebut mempunyai perkaitan secara langsung dengan  imej fizikal seperti benda, warna, bau, rasa, saiz dan bentuk.

 

Melalui teknik-teknik ini diharapkan dapat membantu mempertingkatkan perbendaharaan kata anda. Adalah disarankan jika anda seorang pelajar yang gemar belajar secara beramai-ramai, maka teknik penggunaan kad perbendaharaan kata disamping penghuraian dan pengulangan lebih sesuai digunakan. Manakala jika anda seorang yang lebih pantas belajar sekiranya berseorangan, maka teknik merakam dan mendengar semula melalui alat rakaman adalah lebih sesuai. Saya yakin bahawa teknik yang digunakan boleh meningkatkan perbendaharaan kata anda dengan bantuan guru dan ibu bapa.

 

Wallahu a’lam

Photo Credit : srgpicker via photopin cc

Sumber :

Yahya Othman (2008). Mengajar Membaca Teori & Aplikasi Edisi kedua . PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

http://www.improvingvocabulary.org/index.html

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0712&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_01.htm