Putrajaya – Pelbagai usaha dilakukan kerajaan bagi membanteras rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan yang kesannya mampu melumpuhkan ekonomi, menjejaskan keberkesanan program, malah sering menggagalkan apa sahaja penguatkuasaan undang-undang di negara ini. Usaha ini termasuk membudayakan masyarakat yang beretika.

Langkah menggariskan rasuah sebagai salah satu teras utama untuk diperangi dalam senarai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), merupakan komitmen kerajaan melakukan transformasi melalui pengurusan berteraskan pencapaian dengan mensasarkan imej pegawai awam yang bukan sahaja bebas rasuah, tetapi mempunyai kredibiliti dan kualiti yang mampu menganjak negara ke tahap negara maju.

Pelaksanaan program mengurangkan amalan rasuah terutama membabitkan agensi penguatkuasaan seperti polis, kastam, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Imigresen dengan mengukuhkan unit pematuhan dalam jabatan berkenaan menampakkan kejayaaan walaupun belum sepenuhnya. Namun, beberapa usaha dan tindakan lain di bawah NKRA telah menampakkan keberkesanan, antaranya ialah :

  • Butiran tender kerajaan, termasuk iklan dan nama pembida berjaya diakses orang ramai di portal MyProcurment bagi meningkatkan ketelusan dan pengawasan.
  • Kakitangan awam diarah mengambil tindakan mengikut prosedur betul berdasarkan Garis Panduan dikeluarkan bagi mengurangkan pengeluaran surat sokongan dan sebarang campur tangan kementerian atau ahli politik.
  • Parlimen turut meluluskan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat untuk melindungi pemberi maklumat sektor awam dan swasta yang mendedahkan salahlaku mereka yang dikehendaki untuk melakukan siasatan.
  • Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula membangunkan laman web yang mendedahkan nama pesalah rasuah dan mengedarkan pekeliling mahkamah yang meminta semua kes rasuah diselesaikan dalam tempoh setahun.

Kemerosotan prestasi negara dalam kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) ke tangga 56 bukan sesuatu yang menggembirakan.Walaupun itu satu persepsi, tetapi pada abad ke-21 ini, persepsi adalah sesuatu yang diterima realiti. Maka, persepsi mesti diurus dengan baik. Caranya ialah dengan berusaha untuk mengembalikan reputasi negara sebagai kerajaan yang bertahap integriti tinggi, dengan memberi tumpuan kepada :

  • Memperkukuhkan pematuhan dan pemantauan untuk memastikan tindakan diambil terhadap mereka yang menyalahgunakan kuasa.
  • Meningkatkan ketelusan kerajaan dengan mendedahkan setiap Laporan Ketua Audit Negara kepada umum.
  • Pesalah rasuah akan diadili lebih cepat dengan hukuman lebih berat untuk mencegah amalan memberi rasuah
  • Meningkatkan kesedaran awam dengan pendirian tiada sesiapa terkecuali dari tindakan undang-undang dan disiasat sepenuhnya.
  • Memupuk nilai berteraskan integriti untuk membentuk dan membudayakan masyarakat yang beretika dan bermoral.

Memorandum Persefahaman ditandatangani SPRM dengan jabatan polis, Kastam dan Jabatan Pengangkutan Jalan ternyata menghasilkan perkembangan membanggakan. Kesedaran di kalangan anggota penguatkuasa, terutama pegawai dan anggota polis yang menolak sogokan, menyaksikan mereka yang gemar memberi rasuah ditangkap dan didakwa di mahkamah.

Sehingga 1 Mei 2010, 64 orang membabitkan nilai suapan melebihi RM 272,000 ditahan kerana kesalahan menyogok penjawat awam. Dari jumlah itu, pesalah trafik merupakan kumpulan paling ramai ditangkap kerana memberi rasuah ketika mengelak diri dari disaman, diikuti pendatang asing tanpa izin dan permit kerja, dadah, menutup kes jenayah, pembalakan haram, mempercepatkan permohonan lesen, mencuri bekalan elektrik dan cakera video digital.

Jumlah terbesar suapan melibatkan RM35,000 oleh seorang peniaga mencuri bekalan elektrik kepada kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB), manakala terendah ialah RM3.00 oleh pendatang asing. Malangnya dalam tempoh itu, 139 penjawat awam turut ditahan kerana disyaki menerima rasuah.

Pada masa sama, SPRM akan terus mengadakan berbagai kempen pencegahan melalui majlis penerangan, program kemasyarakatan, pameran, tayangan drama dan menjalin kerjasama dengan lebih banyak agensi kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, termasuk HuaZong bertujuan meningkatkan pemahaman masyarakat  Cina yang selama ini kurang didedahkan mengenai gejala rasuah.

Kerajaan juga sudah memantapkan sistem penyampaian dan kebanyakan urusan seperti permohonan lesen, permit dan paspot boleh dilakukan dengan cepat, sekaligus menyebabkan tiada keperluan bagi memberi rasuah untuk mempercepatkan permohonan.

Prosedur dan kaedah pentadbiran kerajaan dalam melaksanakan system penyampaian perkhidmatan sebenarnya cukup baik. Pemantapan integriti kakitangan awam sentiasa diusahakan melalui pengubalan kod etika. Amalan nilai murni sering diterapkan melalui pelbagai program di semua kementerian dan jabatan. Namun, itu semua tidak bermakna jika penggerak kepada agenda kerajaan itu tidak berintegriti, curang, mendahulukan keuntungan peribadi dan yang lebih parah, belot kepada keselamatan negara.

Justeru, hanya peningkatan integriti dan kesedaran yang tinggi di kalangan pegawai dan anggota perkhidmatan awam sajalah, diharap akan menjadikan mereka lebih tegas ketika menjalankan tugas seterusnya berani menolak pujukan dan godaan pemberi rasuah.

Perlu diingat,  kepincangan dalam sesuatu organisasi lazimnya disebabkan oleh segelintir individu yang tidak bertanggungjawab, walaupun mereka sedar salahlaku seperti itu menjejaskan imej dan pembangunan organisasi.Selain mengamalkan rasuah, individu ini sebenarnya tidak produktif dan tidak berkualiti.

Pertumbuhan ekonomi boleh terbantut, malah kredibiliti kerajaan yang memerintah akan menjadi lemah jika individu tidak berintegriti ini terus berada dalam organisasi-organisasi berteraskan perkhidmatan di negara ini. Penyelewengan kuasa, penipuan dan salahlaku mesti dihentikan.

Artikel sumbangan SPRM
Photo Credit : Stuart Miles @ freedigitalphotos.net