Jika tidak diperangi, pemberi rasuah dipercayai mampu menyumbang kerugian sehingga RM 10 billion setahun kepada negara, jumlah yang bukan sedikit. Gara-gara mereka, pertumbuhan ekonomi boleh terbantut sekiranya salah laku penipuan dan rasuah terus berlaku terutamanya dalam pemberian kontrak, perolehan dan sebagainya yang dilakukan dengan tujuan tidak betul. Malah kredibiliti kerajaan yang memerintah akan menjadi lemah disebabkan gejala negatif ini.

Justeru, untuk menangani sikap buruk pemberi rasuah itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berpendapat , tanpa pemberi , jenayah rasuah tidak akan berlaku, terutama membabitkan agensi-agensi penguatkuasaan, bertindak melancarkan kempen Bersama lakukan Perubahan, Perangi Rasuah sebagai langkah memberi penjelasan kepada masyarakat bahawa kerjasama antara agensi penguatkuasaan dan penjawat awam mampu mengheret pemberi rasuah ke muka pengadilan.

Kempen pada 26 April di Auditorium Jakim, Kompleks D8 itu juga bertujuan mengubah persepsi masyarakat yang masih mempersoalkan rasional tindakan SPRM yang selama ini dikatakan selektif dengan hanya menangkap dan menuduh penerima rasuah sahaja sedangkan pemberi rasuah terlepas tindakan undang-undang.

Pada masa sama,  kempen yang dilancarkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan itu , untuk mewujudkan sikap ‘menolak rasuah’ dan melaporkan setiap cubaan sogokan kepada SPRM. Masyarakat harus menjadi tunjang memberi sokongan padu untuk bersama-sama membanteras rasuah. Kempen ini juga diharap menjadi titik perubahan kepada orang ramai untuk mengatakan ‘tidak’ kepada jenayah rasuah.

Dalam ucapannya, Sidek menegaskan gejala rasuah dikatakan banyak berlaku dalam agensi penguatkuasaan, merupakan suatu yang salah dan menjijikkan, malah member imej buruk kepada perkhidmatan awam.

Jenayah itu mesti dihentikan sama sekali bagi merealisasikan perkhidmatan awam yang cekap, berkesan dan berintegriti. Ini akan menyumbang kepada pemantapan daya saing negara di persada antarabangsa.

Menurut beliau, berikutan gejala rasuah yang membebankan kerajaan dengan kos tinggi itu, kerajaan melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP) telah menggariskan pelbagai inisiatif dalam usaha membanteras rasuah termasuk meraih semula keyakinan orang ramai terhadap agensi pengawalseliaan, dan penguatkuasaan seperti polis, kastam, imigresen dan JPJ.

Hadir pada majlis itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM , Datuk Seri Abu Kassim Mohamed; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Tun Abdul Hamid Mohamad.

Terlaksananya kempen ini, member petunjuk atau amaran kepada masyarakat, khususnya mereka yang gemar member rasuah, agar berhati-hati kerana anggota perkhidmatan awam tidak lagi mudah disogok dengan rasuah.

Kempen ini juga diyakini mampu meningkatkan system penyampaian perkhidmatan awam dan membaiki imej agensi penguatkuasaan, selain meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap anggota penguatkuasa yang sering dikaitkan dengan perlakuan rasuah.

Kempen juga mengajak dan menggalakkan semua agensi penguatkuasaan untuk bersama berusaha membanteras rasuah, seterusnya mengubah persepsi negative masyarakat terhadap amalan rasuah di sektor awam. Jika ini menjadi kenyataan, keyakinan masyarakat sebenarnya mencerminkan keyakinan terhadap kerajaan yang sentiasa berusaha membanteras rasuah.

Artikel sumbangan SPRM