(SURAH AL-ANKABUT,AYAT 45)

Marilah kita sama-sama mempertingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah swt dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat kebahgiaan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk: “MENJAGA KESEMPURNAAN DAN KEUTAMAAN SOLAT”.

Solat atau sembahyang, adalah satu ibadah yang telah difardhukan oleh Allah swt sebanyak lima waktu sehari semalam, ke atas setiap muslim yang mukallaf, tanpa diuzurkan kepadanya selagi akalnya masih sempurna sekalipun dia berada dalam peperangan,bermusafir ataupun ketika sakit tenat.Jika kita imbas kembali, Allah swt telah menurunkan perintah mengerjakan solat pada tahun ke-10 kerasulan nabi Muhammad saw. Perintah mengerjakan solat lima waktu sehari semalam yang diturunkan kepada umat nabi Muhammad saw diberikan kepada rasulullah saw tanpa perantaraan malaikat Jibril a.s. Untuk memberi perintah solat, Allah swt menjemput nabi Muhammad saw untuk menghadap-Nya di Arasy yang melintasi tujuh petala langit. Di malam yang penuh berkat,yang masyhur dikenali sebagai malam Isra dan Mikraj, nabi Muhammad saw telah dibawa dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dan kemudian baginda saw dinaikkan ke langit dengan menaiki Buraq sehingga berada begitu hampir dengan Allah swt. Para Ulama mengibaratkan jaraknya seumpama sejauh busar panah. Pada waktu itulah solat diperintahkan oleh Allah swt kepada umat nabi Muhammad saw yang jumlahnya bermula lima puluh waktu dan kemudian dikurangkan menjadi lima waktu sehari semalam dengan rahmat Allah swt.

 

Senario kita umat Islam pada hari ini, khususnya di Malaysia tidak begitu mengambil berat tentang persoalan solat. Dengan sebab pengabaian solat inilah kita lihat generasi Malaysia hari ini semakin lemah iman dan ketaqwaan kepada Allah swt serta bercambah dan merebaknya gejala maksiat dan pergaulan bebas yang meruntuhkan akhlak umat Islam negara kita terutamanya muda-mudi di negara ini.Sebagai contoh, ada di antara mereka tanpa segan silu melakukan perkara-perkara yang tidak senonoh di khalayak ramai seperti berpegangan tangan,bercumbuan,berpelukan malahan ada yang sanggup menggadaikan maruah serta kehormatan mereka. Tidak kurang juga bagi golongan dewasa yang sepatutnya menjadi contoh dan ikutan, tanpa rasa berdosa mengamalkan rasuah, mencuri tulang ketika waktu kerja, pecah amanah, tanpa rasa malu dan berdosa memasuki pusat-pusat jualan nombor ekor, berjudi dan minum arak terang-terangan dan tidak kurang juga mereka yang sepatutnya menjadi pelindung kepada anak-anak, berubah menjadi pemangsa demi memuaskan nafsu serakah mereka. Ibarat kata pepetah melayu “ haruan makan anak”. Justeru itu solat adalah perisai bagi umat Islam untuk mengatasi perkara-perkara tersebut, sebagaimana firman Allah swt di dalam surah Al-Ankabut, ayat 45 :

 

Maksudnya: “ Bacalah apa yang telah diwahyukan kepada Mu iaitu Al-Kitab ( Al-Quran) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaan dari ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan”.

 

Berdasarkan firman Allah swt ini,jelas membuktikan bahawa solat itu merupakan perisai yang hebat yang dapat mencegah diri kita dari melakukan perbuatan keji dan mungkar yang dibenci oleh Allah swt. Sekiranya generasi Malaysia pada hari ini amat menitikberatkan soal solat ini,maka sudah tentu kadar jenayah di negara ini akan berkurangan dan terpelihara kita dari segala maksiat dan kemungkaran. Solat yang kita kerjakan lima waktu sehari semalam itu menjadi kayu pengukur sejauh mana ketaatan dan keimanan kita kepada Allah swt, atau dengan kata lain solat merupakan pemisah antara keimanan dan kekufuran. Hal ini berdasarkan hadis rasulullah saw:

 

(man tarakas-solata mutaammidan fakad kafara jiharan)

Maksudnya: “Sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja sesungguhnya dia menjadi kafir yang nyata”. ( riwayat darul-qatni )

 

Seseorang yang meninggalkan solat fardhu adalah sangat buruk dan keji sekali kerana keengganannya melaksanakan perintah Allah yang maha Agung ini. Rasulullah saw telah menegaskan dalam sabda baginda:

 

(“ Man Hafaza alaiha kanat lahu nuran wa burhanan wa najatan yaumul qiamati wa man lam yuhafiz alaiha lam yakun lahu nuran wa burhanan wa najatan wa kana yaumul qiamati ma’a qaruna wa firauna wa hamana wa ubayi bin kholaf ”).

 

Maksudnya: “ Sesiapa yang menjaga solat nescaya solatnya menjadi Nur untuknya, tanda (keimanan) dan kelepasan (dari neraka) pada hari qiamat, dan sebaliknya sesiapa yang tidak menjaganya nescaya tiada baginya nur tanda (keimanan) dan kelepasan, malahan dia adalah (dikumpulkan dalam neraka yang paling panas sekali) bersama firaun, haman, dan ubay bin kholaf”. (riwayat Ahmad, At-Thobrani dan Ibnu Hibban)

 

Begitulah balasan yang akan diterima oleh kita semua berdasarkan amalan kita sama ada baik ataupun buruk, nikmat ataupun azab. Janganlah kita memandang remeh dan mengabaikan tentang kefardhuan solat ini kerana ia melibatkan keimanan kita kepada Allah swt. Solat juga merupakan ibadah yang amat tinggi dan mulia sekali di sisi Allah taala. Hal ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah saw yang berbunyi:

 

(“ As-solatu iemadu Ad-Adini, faman aqamaha fakad aqamad Ad-din, wa man tarakaha fakad hadama Ad-din”)

Maksudnya: “ Solat itu adalah tiang agama, maka sesiapa yang mendirikannya bererti dia telah menegakkan agama, dan sesiapa yang meninggalkannya bererti dia telah meruntuhkan agama”. (Riwayat Al-Baihaqi)

 

Berdasarkan besar peranan solat kepada umat Islam, maka islam meletakkan solat sebagai tiang agama dan merupakan amal ibadah yang pertama sekali dihisab oleh Allah swt dihari kiamat kelak. Ini selaras dengan sabda Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a yang bermaksud:

 

“Sesungguhnya amalan yang pertama dihitung pada hari kiamat ke atas seseorang Islam itu ialah solat fardhunya. Jika didapati sempurna solatnya nescaya berbahagia dan beruntunglah dia. Sebaliknya jika tidak sempurna (dengan baik dan khusyuk), akan menyesal dan rugilah dia. Jika seseorang itu didapati ada kekurangan daripada sesuatu amalan wajibnya, maka Allah swt memerintahkan kepada para malaikat “Periksalah oleh kamu semua,adakah hamba Ku itu mempunyai amalan solat sunat yang lain. Sekiranya ada, amalan tersebut dapat menampung kekurangan amalan wajibnya. Kemudian cara menghitung amalan-amalan lain juga sama dengan kaedah menghitung amalan solat ini ”. (Sunan An-Nasaie).

 

Persoalan besar timbul ialah, Solat yang bagaimanakah dapat mengukuhkan akhlak dan mencegah diri kita daripada terjebak dengan perkara-perkara keji dan mungkar?

 

Pada dasarnya pelaksanaan solat melibatkan dua aspek iaitu pergerakan fizikal (badaniyah) dan pergerakan dalaman (rohaniyah). Pergerakan badaniyah ialah setiap pergerakan zahir anggota badan  seperti takbiratul ihram, ruku’, iktidal, sujud, bacaan dan sebagainya. Manakala gerakan rohaniyah ialah pemusatan pemikiran dan perasaan kepada Allah swt sehingga melahirkan khusyuk, tawadduk dan ikhlas semasa menunaikan solat. Dr. Yusof Al-Qaradawi menjelaskan, terdapat dua jenis khusyuk:

 

1) Khusyuk hati

Khusyuk hati ialah merasakan pengawasan Allah swt serta kehebatan-Nya dengan meneliti (tadabur) makna ayat-ayat Al-Quran yang dibaca dan zikir-zikir yang dilafazkan seperti takbir,tasbih dan lain-lain. Hal yang demikian itu akan menyebabkan seseorang itu benar-benar merasakan dia berada di hadapan Allah swt.

2) Khusyuk anggota

Khusyuk anggota pula merupakan pelengkap dan menifestasi daripada kekhusyukan hati seseorang yang sedang solat. Khusyuk anggota yang dimaksudkan ialah tidak berpaling, bergerak-gerak yang banyak, yang bukan daripada perbuatan solat, yang boleh menghilangkan kekhusyukan solat, sehingga dilihat tiada beza dengan keadaan orang yang diluar solat.

 

Keperluan khusyuk dalam solat adalah sangat-sangat dituntut seperti firman Allah swt:

(surah Taha: 14)

Maksudnya: Dirikanlah solat untuk mengingati-Ku. (Surah Taha: 14)

 

Secara kesimpulannya,antara kaedah paling utama bagi memperolehi khusyuk dan tanda kesempurnaan kehadiran hati telah tercapai, ialah dengan meneliti lima perkara:

 

1)     AL-TAFAHHUM: Memahamkan semua bacaan di dalam solat dan menghayati maknanya.

2)     AL-TAKZIM: Merasakan kebesaran Allah, seolah-olah kita berada di hadapan-Nya.

3)     AL-HAYBAH: Menghadirkan rasa gerun terhadap kekuasaan Allah, dengan demikian rasa hebat terhadap Allah akan dapat dihasilkan.

4)     AL-RAJAK: Mengharapkan rahmat Allah swt dengan sepenuh harapan bahawa ibadat kita akan diterima.

5)     AL-HAYAK: Berasa malu kepada Allah kerana kecuaian dalam mengotakan janji kita terhadap-Nya dan kekurangan kita dalam melakukan Ibadat terhadap-Nya.

 

Abu Hurairah r.a pernah bertanya kepada Rasulullah saw tentang bagaimana caranya malu kepada Allah itu? Lalu Rasulullah saw menjawab : “Kamu berasa malu dengan-Nya, sebagaimana kamu berasa malu kepada lelaki yang soleh dalam kalangan kamu”.

Mengakhiri khutbah, mimbar yang mulia ini ingin mengingatkan bahawa, terdapat perkaitan yang kuat di antara mereka yang sempurna melaksanakan ibadat solat, biasanya mereka juga sempurna melakukan ibadat dan amalan kebajikan yang lain. Oleh itu, marilah kita memelihara solat yang difardhukan ke atas kita, dengan memenuhi aspek jasmani dan rohani. Disamping memastikan anak-anak kita juga dibesarkan dengan solat yang berkualiti. Dalam usaha kearah meningkatkan kesempurnaan ibadah solat, maka mimbar ingin mengemukakan pandangan Imam Al-Ghazali r.a tentang kaedah solat yang sempurna, iaitu:

 

PERTAMA: Sentiasa memelihara solat lima waktu tanpa sebarang alasan untuk meninggalkannya melainkan atas sebab-sebab uzur syarie.

KEDUA: Sentiasa memperkemas bacaan-bacaan dalam solat dan memahami maknanya bagi memperolehi khusyuk.

KETIGA: Sentiasa mendidik dan memastikan ahli keluarga mengerjakan solat secara berjamaah.

KEEMPAT: Sentiasa menghadirkan kebesaran Allah swt, seolah-olah kita sedang berhadapan dengan-Nya.

KELIMA: Sentiasa malu kepada Allah swt, kerana kelemahan dalam beribadat.

KEENAM: Sentiasa mengharapkan rahmat Allah swt, serta mengharapkan solat yang dilakukan diterima oleh Allah swt.

 

A’uzubillahi Minas Syaitan nirrajim,

 

(Surah Al-Mukminun: 1-2)

Maksudnya: “Sesungguhnya telah berjayalah orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya”.