Isu halal dan haram sesuatu produk makanan dan kegunaan harian sudah lama diperkatakan dan seolah-olah tiada penamat. Ini kerana bagi umat Islam, mencari yang halal merupakan satu kewajipan. Walau bagaimanapun, terdapat sesetengah masyarakat masih lagi tidak sensitif dan memandang enteng dengan permasalahan ini.Pun begitu, isu ubat-ubatan yang mengandungi unsur babi terus menjadi bualan masyarakat apabila didedahkan tentang sumber sesetengah ubat yang dipasarkan di negara kita menimbulkan keraguan. Baru-baru ini timbul isu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memberi kelulusan kepada produk farmaseutikal yang mengandungi unsur tidak halal. Ia menjadi satu kemusykilan dan tanda tanya masyarakat kenapa ia masih berlaku dalam negara kita? Kekeliruan mungkin timbul dalam kalangan masyarakat kita sendiri. Barangkali pelbagai persoalan yang dilontarkan daripada isu tersebut, mengapa perlu diluluskan, kalau sudah dikategorikan sumber haram?

Masyarakat kita mempunyai hak untuk memilih dan mencari yang halal dan terbaik untuk diri sendiri. Namun, dengan kelompongan ilmu dan maklumat, kadangkala kita terus menerus mengikut arus masa kini tanpa memikirkan sumber sesuatu makanan atau ubatan tersebut. Mungkin ramai dalam kalangan pesakit menerima apa sahaja ubat preskripsi doktor tanpa mengetahui status halal atau sebaliknya ubat yang mereka terima. Walaupun terdapat hukum yang mengharuskan penggunaan ubatan yang mengandungi unsure tidak halal  atas dasar darurat, tetapi sampai bilakah umat Islam perlu digolongkan diri mereka dalam keadaan darurat? Sudah ramai ahli farmasi, pakar perubatan dan pakar teknologi yang wujud pada masa kini, namun dimanakah mereka dalam menangani permasalahan seumpama ini? Adakah umat Islam kita akan terus menggunakan ubat daripada sumber tidak halal dengan asbab belum ada lagi penemuan ubatan sumber halal yang menyamai intensiti ubat yang tidak halal dan sedia ada di pasaran sekarang?

Kelulusan daripada KKM adalah berdasarkan dos yang selamat untuk digunakan oleh masyarakat ataupun tidak. Manakala status kehalalan pula disahkan oleh pihak agama yang berautoriti. Walaupun sesetengah ubat disahkan selamat untuk diambil namun statusnya masih boleh dipersoalkan. Adakah ia selamat untuk orang Islam? Kenapa umat Islam perlu berada dalam kekeliruan dengan cara meluluskan ubat yang tidak halal berada di pasaran? Jika ubat yang mempunyai unsur babi masih berleluasa, masyarakat yang tanpa maklumat akan terus terdedah dengan ubatan yang tidak halal tersebut. Mengapa tidak disekat terus penggunaannya atau secara tuntasnya ia tidak perlu dipasarkan secara meluas dan orang Islam berhak mengetahui sumbernya jika ia perlu diberikan kepada mereka.

Meskipun Islam memberikan kelonggaran untuk mengambil ubat-ubatan yang mengandungi sumber haram dalam keadaan darurat tetapi keadaan tersebut perlu jelas dan selari dengan maqasid syariah agar ia tidak terus dijadikan alasan untuk menggunakan ubatan yang mengandungi unsur haram. Pesakit yang menitikberatkan soal halal dan haram sudah semestinya akan sensitif dengan permasalahan tersebut. Walau bagaimanapun, sudah menjadi hak pesakit untuk mendapatkan maklumat yang lengkap dan doktor yang merawat juga perlu bertanggungjawab untuk menerangkan kepada pesakit tentang ubat-ubatan tersebut secara telus.

Kefahaman dan penghayatan halal serta haram dalam semua aspek sangat penting diberi perhatian semua pihak. Oleh sebab itu, peranan yang sepatutnya diambil oleh masyarakat kita ialah menambahkan maklumat tentang apa yang dimakan dan digunakan dalam kehidupan seharian. Contohnya, jika kita perlu menggunakan sesuatu ubat-ubatan, perlu disemak label terlebih dahulu agar ia tidak mendatangkan mudarat kemudiannya. Masyarakat perlu sensitif terhadap label yang terdapat pada pembungkusan ubatan dan perlu mendapatkan kepastian daripada orang yang bermaklumat tentangnya seperti pakar perubatan atau ahli farmasi.

Usaha yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, JAKIM dengan kerjasama syarikat farmaseutikal tempatan dan juga agensi-agensi lain dalam menyediakan Piawaian Halal Farmaseutikal di Malaysia merupakan satu langkah kehadapan dalam penyelidikan sesuatu ubat.Ia bukan setakat menjadi penanda aras setiap ubat-ubatan mempunyai kualiti yang baik, dos yang sesuai malah juga halal. Di samping itu, menjadi titik tolak dalam menerokai budaya halal yang juga perlu diterap dalam sektor perubatan.

Pentingnya kesedaran tentang mencari yang halal dalam setiap makanan dan ubatan ini kerana ia akan mempengaruhi tingkahlaku kita. Dalam menjamin kesejahteraan hidup, Islam telah menetapkan panduan dan larangan-larangan dalam pengambilan bahan makanan dan barangan gunaan agar umatnya tidak terjerumus mengambil benda-benda yang haram dan ditegah. Ini semua adalah untuk memastikan kesinambungan hidup manusia agar sentiasa terpelihara akidahnya. Memilih yang halal menjadi satu tunggak penting dalam senarai kehidupan dan sentiasa mengutamakannya dalam setiap pemilihan makanan atau ubatan. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan

“Sesungguhnya yang halal itu terang (jelas),dan yang haram itu terang, dan di antara keduanya pula terdapat perkara-perkara syubhah (tidak terang halal atau haramnya) yang tidak diketahui oleh manusia. Orang yang memelihara dirinya daripada perkara syubhah itu adalah seperti orang yang melindungi agama dan kehormatan dirinya.”

Dengan itu, cukup telitikah kita dalam hal sebegini untuk memastikan apa yang diambil itu terbaik untuk diri kita? Ini kerana, kadangkala apabila kesensitifan seseorang terhadap halal dan haram tidak dijadikan budaya dalam hidup, menyebabkan masyarakat tidak lagi melihat sesuatu makanan dan barangan itu dengan teliti. Sebagai pengguna yang bermaklumat, molek kiranya kita sendiri berusaha untuk mencari yang halal. Ini kerana lambakan produk yang berada di pasaran sekarang banyak mendapat pengesahan halal daripada pihak berkuasa. Cuma, barangkali tidak perlu lagi untuk diragukan apabila ia telah disahkan halal oleh badan bertauliah kerana ia mungkin akan menimbulkan lebih banyak keributan dalam kalangan masyarakat.

Sumbangan IKIM
photo credit: epSos.de via photopin cc