Seringkali pemilihan untuk melanjutkan pelajaran selepas SPM menjadi titik tolak dan merupakan keputusan yang paling penting bagi kebanyakan pelajar dan ibu bapa.Justeru, proses perancangan perlu diadakan seawal mungkin bagi mengelakkan kekecewaan dan kehampaan. Kita hanya mampu merancang tetapi Allah yang menentukan segalanya. Artikel ini hanya membantu anda untuk membuat perancangan dan strategi serta panduan. Perancangan dan strategi yang telah anda buat sebaiknya dipersembahkan atau dibawa ke meja perbincangan bersama ibu-bapa atau guru kaunselor atau orang yang anda percayai.

 

Langkah # 1 : tentukan apa yang hendak anda pelajari, minat dan ingin ketahui. Sebaiknya jika anda mempunyai kerjaya impian yang berseuaian dengan keputusan peperiksaan anda lebih mudah untuk membuat pilihan.

 

Langkah #2 : Kecilkan skop dengan membangunkan senarai kriteria anda sendiri yang boleh memberi panduan untuk memilih universiti . Contohnya institusi awam atau swasta, luar negeri atau dalam negeri, kos, jarak dengan rumah, kemudahan dan lokasi.

 

Langkah #3 : Dapatkan maklumat sebanyak mungkin mengenai kolej atau universiti yang telah disenarai pendek. Anda boleh mendapatkan maklumat tersebut dari majalah career2zoom khasnya, laman web universiti, pameran kerjaya, dan risalah yang diedarkan melalui guru kaunselor sekolah. Melalui laman web universiti anda boleh melihat gambar-gambar serta persekitaran universiti secara maya.

 

Langkah #4 : Senarai pendek universiti atau kolej tersebut dan hadkan kepada Top 10. Jika anda berkemampuan untuk melawat universiti tersebut bersama ibu bapa adalah lebih baik. Kebiasaannya, universiti dan kolej  akan mengadakan pameran kerjaya masing-masing atau ‘Open Day’  selain pameran kerjaya yang dianjurkan oleh badan-badan kerajaan seperti Jom Masuk U atau Karnival Kerjaya oleh pihak swasta.Open Day akan memberi peluang untuk melawat makmal, perpustakaan, kelas dan kemudahan-kemudahan yang bakal anda hadiri sekiranya diterima masuk kedalam kursus yang anda pilih. Sekiranya anda terlepas tarikh ‘Open Day’ , anda boleh berhubung terus dengan pihak university bahagian kemasukan pelajar untuk membuat lawatan atau bertanya tentang kursus dan maklumat mengenai universiti.

 

Langkah #5 : Isi borang kemasukan universiti. Contohnya borang UPU ( untuk semua IPTA), borang universiti atau kolej untuk kursus yang anda pilih. Selain itu, adalah digalakkan untuk memohon kolej atau universiti lain sebagai ‘safety’ sekiranya universiti pilihan anda tidak memberi tawaran. Namun perlu diingat, pohon hanya kepada kolej atau universiti yang diiktiraf oleh kerajaan dan sebolehnya yang mempunyai kedudukan / ranking yang baik.

Ranking universiti

 

Langkah #6 : Sementara menunggu keputusan permohonan, senaraikan biasiswa-biasiswa yang boleh dipohon untuk membantu pengajian anda kelak. Kebiasaannya, biasiswa popular seperti JPA dan MARA menjadi rebutan. Eksplorasi biasiswa kali ini akan membuka minda anda terhadap peluang-peluang biasiswa lain. Contoh biasiswa yang kami telah paparkan dalam keluaran lepas adalah pengajian di KKTM dan biasiswa Al-Bukhari.

 

Langkah #7 :Setelah menerima tawaran buatlah keputusan yang wajar sesuai dengan pemilihan dan minat anda.

Photo Credit : nongpimmy @ freedigitalphotos.net