Kemahiran membaca sememangnya merupakan titik tolak kepada ilmu dan dunia pengetahuan. Membaca membuka pintu kepada penerokaan ilmu yang lebih mendalam dalam semua bidang.Hal ini terbukti kerana ayat pertama yang diwahyukan Allah swt kepada Nabi Muhammad SAW dalam surah Al Alaq ayat 1 adalah perintah untuk membaca.

“Bacalah wahai Muhammad dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekalian makhluk. Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku, bacalah dan Tuhanmu yang maha pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Di mana-mana sahaja, pelbagai program dirancang untuk memupuk minat supaya membaca. Minat sahaja tanpa dorongan dan tunjuk ajar tidak akan kemana. Justeru sebagai ibu bapa dan guru, mengajar membaca merupakan perkara pokok dan perlu diberi keutamaan. Tanpa kemahiran ini, dan kelalaian ibu bapa dan guru, anak-anak dan pelajar akan terus keciciran. Justeru sehebat mana pun silibus persekolahan dan sebanyak mana pun isi kandungan pembelajaran tidak akan dapat dihayati kerana perkara yang pokok ini tidak dapat dikuasai. Oleh sebab itu tidak mustahil jika masih ada pelajar tingkatan 3 dan 5 di Malaysia yang masih belum pandai membaca!

Kesedaran ibu bapa akhir-akhir ini tentang kemahiran membaca sejak kecil memang terserlah. Di bandar-bandar besar terutamanya banyak pusat-pusat pembelajaran kanak-kanak pra sekolah tumbuh bagai cendawan dan membawa pelbagai teknik dan pendekatan untuk mengajar membaca. Tetapi adakah mengajar membaca akan terhenti begitu sahaja setelah anak-anak kita mengenal abjad, membunyikan suku kata dan membaca ? Jawapannya tentu tidak kerana laluan kepada kemahiran membaca masih panjang dan perlu konsisten. Disinilah peranan ibu bapa dan guru sangat penting kerana dorongan dan tunjuk ajar dalam membaca masih lagi diperlukan. Lihat sahaja silibus matapelajaran Darjah 1. Kandungan mata pelajaran sangat tinggi dan kompleks. Sekiranya guru hanya mementingkan ‘habis topik’dan ‘habis silibus’tanpa memberi bimbingan sebenar untuk membaca, pelajar yang rata-ratanya baru pandai membaca akan tercari-cari apakah sebenarnya yang dipelajari. Itu belum dikira pelajar yang masih merangkak-rangkak untuk membaca dan pelajar yang belum pandai membaca. Maka mereka akan terus-terusan ketinggalan dan keciciran walaupun saban tahun ‘naik darjah’’yang seterusnya.

Kita tidak boleh hanya menyalahkan silibus dan sistem pendidikan negara kerana mereka juga sebenarnya sedang mencari-cari formula yang terbaik untuk menaikkan kemahiran membaca bangsa Malaysia. Walaupun pelbagai program seperti LINUS, kelas pendidikan khas dan terbaru KSSR , ibu bapa perlu bersifat proaktif kerana 70% pembelajaran sebenarnya adalah di rumah. Sesibuk mana pun kita bekerja seharian luangkan masa sekurang-kurangnya 30 minit untuk membantu anak-anak dalam proses membaca.

Kita perlu faham mengenai faktor yang mempengaruhi kebolehan membaca . Yahya (2005) menyenaraikan beberapa faktor iaitu:

Faktor pembaca sendiri

  • Pelajar yang cerdas mempunyai tahap pemahaman yang tinggi.Dapat menumpukan perhatian ketika membaca dan mengingat perkara yang dibaca serta dapat menyatakan semula dalam lisan dan tulisan
  • Peranan pengetahuan dan pengalaman sedia ada pelajar membantu mereka memahami teks yang dibaca.
  • Kebolehan dan penguasaan bahasa secara lisan dan penguasaan perbendahraan kata membantu kemahiran membaca.

Faktor psikologi

Minat dan motivasi serta pemupukan minat membaca

Faktor fizikal

Berkaitan dengan deria pendengaran dan penglihatan. Mungkin terdapat halangan anak-anak membaca disebabkan faktor fizikal.Faktor ini perlu dipantau agar boleh dirujuk kepada doctor pakar jika perlu. Perbezaan faktor fizikal ini memberi kesan kepada tahap dan kemahiran membaca. Adakalanya bentuk fizikal anak adlah sempurna, tidak pekak, tidak buta dan tidak cacat tetapi mungkin mempunyai masalah fizikal dalaman yang lain. Oleh itu perhatikanlah tanda-tanda seperti:

–          Permintaan kerap supaya penerangan diulang-ulang

–          Ucapan dan sebutan tidak jelas

–          Perbuatan membuka mulut ketika mendengar

–          Menyengetkan kepala ketika mendengar

–          Kebolehan mengeja yang lemah

–          Tidak dapat memberi perhatian

–          Nanah atau air keluar dari telinga

–          Selalu demam

–          Perbuatan meninggikan suara ketika membaca

Faktor persekitaran

Persekitaran di rumah adalah penting.Membaca bagi tujuan rehat dan rekreasi dijadikan aktiviti keluarga serta membacakan cerita kepada anak kecil sebelum tidur.

Rumah diisi dengan majalah,surat khabar,dan buku memberi mesej kepad nilai membaca kepada anak –anak.

 

Persekitaran sekolah

Persekitaran sekolah dan cara guru menngendali suasana pembelajaran dalam kelas mempengaruhi minat dan motivasi pelajar untuk membaca:

 

-cara guru menyediakan bahan pembacaan

– pemilihan bahan

– soalan yang ditanya

– maklum balas yang diberi

– jenis dorongan dan pengukuhan yang diberi

 

Persekitaran komuniti

Berdasarkan pengalaman hidup dalam komuniti kerana setiap komuniti mempunyai perspektif yang berlainan.

 

Persekitaran budaya

Budaya yang menjadikan membaca sebagai bernilai mempromosikan bahawa membaca adalah budaya yang baik

 

Bagaimana anda boleh membantu untuk meningkatkan kemahiran memabca?

Motivasi untuk membaca dipengaruhi oleh bahan bacaan yang dibaca. Motivasi untuk membaca majalah, surat-khabar, novel dan komik amat berlainan dengan membaca buku-buku bukan fiksyen, buku teks, buku akademik, dan jurnal. Motivasi membaca juga sangat berbeza sekiranya bahan bacaan tersebut berbentuk naratif ( penceritaan) dan ekspositori(fakta). Statistik yang didapati daripada Perbadanan Perpustakaan Pulau Pinang mendapati bahawa peratusan pinjaman bahan bacaan novel adalah yang tertinggi di kalangan peminjam dan pembaca perpustakaan.

Di sekolah, teks-teks yang dibaca adalah bersifat akademik dan strategi diperlukan untuk memahami petikandan karangan yang diberikan.Dalam kajian yang dilakukan di sebuah sekolah di Malaysia, Zamri & Mohamed Amin (2005) mendapati terdapat perbezaan yang ketara di antara strategi yang digunakan oleh pelajar yang cemerlang berbanding dengan pelajar yang lemah ketika membaca. Kajian ini mendpaati bahawa pelajar cemerlang (lelaki dan perempuan ) menggunakan hampir keseluruhan strategi yang disenaraikan manakala pelajar yang lemah membaca dengan hanya menggunakan 9 hingga 10 strategi sahaja. Strategi yang palig popular adalah Baca Pelbagai Bahan bacaan(BPBB). Walaubagaimanapun terdapat perbezaan di antara perlbagai bahan bacaan yang dibaca oleh pelajar cemerlang dan pelajar lemah. Pelajar yang lemah selalunya menggunakan strategi seperti BPBB, GTTB, GABB, BSP, PMTB, BPGB, PAG, BIP dan BPKB.

Strategi pembelajaran bahasa ( Sumber : zamri & Mohamed Amin 2005):

  1. BKTR Baca karangan terbauik rakan
  2. GTTP Guna teknik tingkatkan pertuturan
  3. BNTB Baca nada intonasi betul
  4. BGBF Baca guna bahasa formal
  5. GABP Guna alat bantuan pembacaan
  6. BSP Baca semua petikan
  7. PMTB Peruntuk masa tingkatkan pembacaan
  8. BPBB Baca pelbagai bahan bacaan
  9. BDL Baca dengan lancer
  10. PBR Pinjam buku rakan
  11. BPGB Baca petikan guru beri
  12. MGBB Minta guru betulkan bacaan
  13. PAG Patuh arahan guru
  14. BIP Baca isi penting
  15. DTGA Dengar teliti guru mengajar
  16. BTAS Baca teliti arahan soalan
  17. BPKB Beri perhatian ketika membaca
  18. ABAB Ambil bahagian aktiviti bahasa
  19. MRDB Minta rakan dengar pembacaan
  20. BBTTs Baca buku teknik menulis
  21. BDJ Baca dengan jelas
  22. BBRP Baca buku rujukan peperiksaan
  23. BBK Baca berulang kali
  24. BAS Baca ayat suci
  25. BDSB Baca doa sebelum belajar

Di manakah kedudukan anak anda? Jika anda menyedari bahawa anak adalah dikalangan pembaca yang lemah , sudah tiba masanya kita membantu dalam memotivasikan mereka melalui strategi-strategi ini. Anda juga perlu tahu pembaca juga mempunyai tahap-tahapnya iaitu tahap pra-sekolah, tahap permulaan (beginner), tahap pembangunan (developmental) dan remaja. Oleh itu digalakkan membantu pembaca ini melalui tips-tips mudah yang boleh dipraktikkan di rumah.

Tips-tips untuk pembaca tahap permulaan (sumber: Canada Raise a reader literacy program):

  • Membaca bersama-sama anak anda setiap hari. Latih mereka untuk mebaca dengan kuat , terang dan jelas (read out loud)
  • Hadkan masa untuk menonton televisyen, bermain video game dan computer>Peruntukkan masa untuk membaca
  • Menunjukkan teladan yang baik dengan membaca buku, majalah dan surat khabar
  • Pelbagaikan bahan bacaan dirumah seperti buku novel, buku bukan fiksyen, buku-buku How to , majalah, komik, permainan word board game dan puzzle
  • Daftarkan anak anda dengan perpustakaan terdekat
  • Berbincang dengan anak anda tentang bahan yang dibaca meliputi gambar yang dilihat, idea yang tersurat dan tersirat
  • Wujudkan ‘game night’di mana anda sekeluarga boleh bermain board game seperti Sahibba, Scrabble, Boggle dan sebgainya
  • Sentiasa berhubung dengan guru di sekolah mengenai prestasi pembacaan anak anda

Kesimpulannya, kemahiran membaca perlu konsisten dan sebagai ibu bapa kitalah orang yang sepatutnya mengambil berat tentang pembacaan anak kita sendiri.

 

Sumber:

Zamri Mohamad & Mohamed Amin Embi . Jun 2005: 1-18.Pengggunaan Strategi Pembelajaran Bahasa untuk menguasai Kemahiran membaca. Jurnal Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia

Yahya Othman 2004. Mengajar membaca: Teori & Aplikasi. PTS Publishing

www.canada.com/literacy/raiseareader

photo credit: See-ming Lee ??? SML via photopin cc