Sering kali kita mendengar orang menyebut integriti dan boleh dikatakan saban hari juga ungkapan ini terbit dari bibir si penutur atau paling tidak, kita akan menemuinya ketika sedang membaca surat khabar, majalah, buku dan bahan bacaan ilmiah lain. Apakah yang dimaksudkan atau boleh difahami dengan integriti? . Apakah istilah ini mencerminkan sifat atau berkait rapat dengan keperibadian seseorang?

 

Memetik maksud integriti daripada Wikipedia Ensiklopaedia Bebas, integriti sebenarnya berasal daripada istilah Bahasa Inggeris yang bermaksud ‘keutuhan’ dari semua segi yang baik. Dalam Bahasa Melayu, ia biasanya menjurus kearah perwatakan seseorang. Manakala maksud integriti mengikut Kamus Dwibahasa dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1985 ialah ‘kejujuran dan ketulusan’, kesempurnaan, ‘ keutuhan’.

Berdasarkan maksud daripada kamus di atas, integriti adalah sifat ‘jatidiri’ yang merangkumi juga keikhlasan, keterbukaan, ketelusan, amanah, benar , berpegang pada prinsip, tidak mudah dipengaruhi, boleh dipercayai, boleh pegang cakapnya dan lain-lain. Jadi, integriti menyimpulkan satu maksud yang positif atau amat baik selain tidak dapat lari daripada sistem kehidupan manusia di seantero dunia. Sifat-sifat positif yang disebut di atas bakal memacu seseorang kearah kebaikan , keunggulan, dihormati dan dikagumi.

Bagaimana pula seseorang dikatakan berintegriti dan tidak berintegriti? Perlukah integriti dicari atau membiarkannya datang bergolek sendiri dan bagaimana ia meresap ke dalam diri serta membentuk sifat jati diri yang teguh ? Lazimnya kita mudah membuat pengukuran mengenai tahap integriti seseoang berdasarkan perwatakan dan apa yang dilakukannya samada bersifat baik yang menyenangkan atau buruk lagi menjengkelkan.

Kita pernah lihat dinding di daam sesebuah tandas awam yang diconteng dengan pelbagai tulisan yang menyakitkan pandangan atau terserempak dengan mereka yang membuang sampah di merata-rata kawasan . Kita juga merasa hampa dan marah apabila skumpulan Mat Rempit membingitkan ketenangan dengan deruman enjin motosikal yang menggegarkan. Kemudian kita terpaksa memendam rasa dan mebungkam tatkala melihat tiada seorang pun yang cuba membantu seorang lelaki mahupun wanita buta melintas jalan raya.

Semua contoh di atas hanyalah sebahagian daripda realiti kehidupan manusia yang boleh kita simpulkan betapa ia menunjukkan seseorang yang tidak berintegriti dan tidak beretika seain tiada keprihatinan terhadap keadaan di sekelilingnya. Kehidupan boleh menjadi kacau-bilau dan tergugat keharmoniannya jika dinaungi golongan seperti ini yang seterusnya melahirkan satu kelompok masyarakat yang hidup tertekan dan trauma.Segala urusan kehidupan pasti berdepan masalah dan kesulitan yang memualkan.

Bagaimana pula seseorang yang memiliki integriti dilihat melayari kehidupan yang menarik dan mudah didampingi orang lain? Kesimpulannya mudah dan jika bagi seseorang Muslim, ia tidak dapat lari daripada penghayatan dan ketaatan kepada ajaran Islam.Kepatuhan demikian menjadkannya seorang insan yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT dan RasulNya serta sentiasa bersyukur dan berhati-hati di dalam searang tindak-tanduk. Tatacara dan tataetika kehidupan golongan ini sentiasa disukai dan disenangi semua pihak.

Keimanan dan ketakwaan yang bercambah di dalam diri menjadi banteng dan jati diri yang kukuh daripada melakukan sesuatu perkara yang sia-sia atau terjerumus ke kancah kebinasaan seperti manjadi kaki buli, ponteng sekolah, vandalisme, peragut, pencuri, perasuah, pecah amanah, pembunuh , perogol dan lain-lain. Hatta bagi mereka yang bukan Muslim sekalipun, setiap agama dianuti tidak pernah membenarkan penganutnya melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan norma-norma kehidupan atau di luar peradaban manusia.

Justeru, kita hendaklah berusaha menjadi manusia berguna dengan memiliki nilai integriti yang tinggi bagi menjamin kehidupan yang sejahtera dan harmoni. Tidak keterlaluan mengatakan bahawa integrity sebenarnya boleh dicari malah dicapai melalui program pengukuhannya sama ada menerusi ceramah, dialog, seminar, bengkel atau kursus selain melalui proses pengukuhan keimanan, jati diri, moraliti dan etika hidup seseorang yang menuntut penglibatan pelbagai pihak dan peringkat sama ada ibu bapa, guru-guru disekolah , masyarakat sekeliling, pihak berkuasa dan kerajaan.

Ibu bapa misalnya, mereka adalah orang pertama yang setiap hari bersua muka dengan anak-anak di rumah dan proses ini seharusnya bermula sedari anak-anak masih bayi.Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.Ibu bapa mesti menjadi role mode dan mendidik serta mencorakkan kehidupan anak-anak dengan lakaran yang baik dan terpuji berlandaskan syariat ( bagi yang Muslim) agar bila besar kelak anak-anak menjadi individu yang berguna dan berbakti. Sementara guru-guru, anggota masyarakat , pihak berkuasa dan kerajaan boleh memainkan peranan mereka megikut konteks masing-masing.

Jadi, jelaslah ketinggian integriti seseorang seiring dengan keimanan di jiwa menjadi tonik paling mujarab bagi membentengi kita daripada terjebak dengan perkara-perkara yang merugikan diri sediri, agama, bangsa, organisasi dan Negara. Tanamkan azam dan sematkan tekad untuk menjadi manusia yang hanya ingin menegakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran di mka bumi Allah SWT ini kerana itulah kewajipan kita sebagai hambaNya.

Artikel ini adalah sumbangan daripada SPRM 

Photo Credit : Stuart Miles @ freedigitalphotos.net