Inovasi berasal daripada bahasa latin yang bermakna ‘’pembaharuan’’. Dunia perdagangan dan perniagaan kini berdepan dengan persaingan yang sangat sengit justeru menuntut inovasi dan idea yang kreatif supaya terus dapat bertahan dan mendapat tempat di hati pelanggan. Oleh itu, tidak hairanlah jika kita baru sahaja berkira-kira modal untuk mendapatkan gajet tercanggih Apple Ipad2, muncul pula Ipad 3 dengan kemampuan berganda.

 

Menurut mendiang Steve Jobs, salah seorang inovator terkenal di dunia dan juga pengasas Apple, Inc menyatakan bahawa inovasi membezakan antara seorang pemimpin dengan pengikut. Menurut Ainon & Abdullah (2005), terdapat beberapa jenis inovasi iaitu inovasi tanpa teknologi, inovasi teknikal dan inovasi dari peniruan kreatif. Inovasi tanpa teknologi didefinisikan sebagai penciptaan cara-cara baru bagi menyampaikan nilai yang lebih baik kepada pengguna. Contohnya ia selalu dikaitkan dengan inovasi sistem pengeluaran, kaedah pemasaran dan pengedaran termasuklah juga sistem pentadbiran dan kemahiran. Justeru bukan semestinya inovasi memerlukan teknologi untuk melaksanakannya. Inovasi teknikal pula memerlukan konsep-konsep,idea-idea atau proses-proses baru yang original dan asli. Objektif inovasi teknikal adalah untuk mengurangkan kos, meninggikan kualiti, meningkatkan prestasi sedia ada, memberi ciri-ciri baru tambahan dan prestasi baru. Contohnya inovasi menghasilkan cip RAM telah maju secara incremental daripada 1K, 4K, 16K, 64K, 256K, 1Megabait, 4 M, 16 M dan seterusnya.Inovasi daripada peniruan kreatif pula dilakukan dengan meniru secara kreatif inovasi orang lain tetapi memperbaiki ciptaan orang lain dan meletakkanya pada kedudukan tepat di dalam pasaran. Contoh paling sesuai adalah Negara Jepun yang merupakan negara yang suka meniru inovasi dari negara lain tetapi menambah baik hasil ciptaan negara tersebut.

Inovasi memberi impak yang sangat besar kepada sesebuah perniagaan, organisasi dan negara. Budaya berinovasi memberi kelebihan supaya kita terus berfikir untuk terus ke hadapan dan menjadi lebih baik daripada orang atau produk di sekeliling. Berdasarkan Indeks Inovasi (Inovation Performance Index 2007; The Economist) Malaysia berada di tempat ke 34 dalam kedudukan dunia. Negara seperti Jepun, Switzerland dan USA kekal berada di tiga tempat teratas. Manakala syarikat paling inovatif 2009; Business Week , menyenaraikan Apple, Google dan Toyota Motors di tiga tempat teratas. Daripada 25 buah syarikat yang disenaraikan, 13 syarikat dari USA, 4 dari Jepun, 2 dari Jerman, 2 dari India diikuti sebuah syarikat masing-masing dari Finland, Korea Selatan, Kanada dan Britain.Menyedari hakikat ini, Malaysia telah pun melancarkan beberapa program bagi meningkatkan kesedaran dan memupuk budaya inovasi di kalangan masyarakat Malaysia.

Tahun 2012 telah dipilih sebagai Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional. Memandangkan inovasi adalah kunci bagi kemajuan Malaysia, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah sejak dua dekad yang lepas termasuk mewujudkan Agensi Inovasi Malaysia yang dipengerusikan oleh perdana menteri.

Belanjawan 2012 yang dianggap sebagai Belanjawan Inovasi memperuntukan RM100 juta bagi kreativiti dan inovasi, yang daripada jumlah itu RM30 juta akan digunakan untuk mewujudkan Market Validation Fund yang akan diuruskan oleh Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia bersama Agensi Inovasi Malaysia.

Satu lagi inisiatif ialah untuk meneruskan dengan program Jejak Inovasi (Innovation Trail) yang diusahakan oleh Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) untuk menggalakkan pembangunan idea-idea baru serta pengkomersilan produk-produk inovatif, khasnya dari kawasan luar bandar.

Selain itu, Yayasan Inovasi Malaysia juga mengadakan program Kids Invent yang disasarkan kepada pelajar berumur 7 – 12 tahun. Program ini bermatlamat untuk mencungkil bakat-bakat kreatif dan memupuk minat untuk berfikir secara kreatif sejak kecil lagi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Dr. Raslan Ahmad, Program KidsInvent tersebut merupakan program kali ke empat dan bakal dilaksanakan secara besar-besaran ke seluruh negara bermula tahun ini.

“Kami percaya melalui program ini kami dapat menyediakan sesi pembelajaran dan permainan secara hands-onkepada kanak-kanak.

“Pada masa sama, dapat menumpukan perhatian kepada peningkatan pemikiran dan aktiviti kreatif serta inovasi,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, semangat yang ada secara semulajadi pada pelajar mungkin akan pudar sekiranya mereka tidak digalakkan untuk menyiasat dengan lebih lanjut akan persoalan-persoalan yang bermain di minda mereka.

Sebanyak RM50.2 billion telah diperuntukkan oleh kerajaan pada tahun 2012 bagi memastikan pendidikan yang berkualiti dan termampu dapat dinikmati oleh semua golongan.

Malah, sempena dengan Tahun Gerakan Inovasi Nasional pada tahun yang sama itu juga, YIM dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta rakan inovatif akan merancang beberapa program penting.

Antaranya adalah penganjuran Forum Inovasi Sedunia yang juga merupakan kemuncak program yang mana juga merupakan platform untuk meraikan kreativiti dan inovasi tempatan bersama masyarakat antarabangsa.

Proses inovasi sebenarnya dan sepatutnya dilakukan oleh semua orang. Inovasi adalah proses untuk menjadikan sesuatu idea dan pemikiran kreatif kepada kenyataan. Bagi kebanyakan orang, proses dan kemahiran inovasi ini adalah bakat semulajadi. Kenyataannya, proses pemikiran kreatif dan inovasi ini sebenarnya boleh dilatih. Pemikiran secara kreatif dan inovatif sebenarnya perlu dilatih dan bukan hanya dianggap sebagai proses semulajadi yang bakal berlaku ketika kita menimba ilmu-ilmu logik seperti matematik dan sains di sekolah.Walaubagaimanapun, menurut Ainon & Abdullah, sistem pendidikan negara ini lebih memfokuskan kepada pemikiran secara reaktif di mana pemikiran ini menanti sesuatu kejadian berlaku terlebih dahulu dan kemudiannya dianalisis dan dikritik. Selain itu, Ainon & Abdullah juga menyatakan ada golongan percaya bahawa mengajar kanak-kanak berfikir kreatif adalah mengajar mereka melukis, mengarang dan membuat kraf tangan. Kreativiti jenis ini sebenarnya digolongkan sebagai kreativiti ekspresi dan memerlukan bakat semula jadi. Kemahiran berfikir secara kreatif merupakankreativiti serius dan kemahiran inilah yang perlu dan boleh kita tanamkan bagi mewujudkan budaya masyarakat yang berinovasi.

Ainon & Abdullah menyenaraikan teknik-teknik yang boleh digunakan untuk menerbitkan idea kreatif. Di antaranya ialah teknik analogi, teknik idea dominan, teknik analisis sifat, teknik menukar pintu masuk, teknik songsang dan teknik herot-perot. Disenaraikan juga matlamat berfikir secara kreatif iaitu untuk menerbitkan:

  • Pelbagai persepsi
  • Pelbagai konsep
  • Pelbagai idea
  • Pelbagai cara menyelesaikan masalah
  • Pelbagai cara meleraikan konflik
  • Pelbagai reka cipta
  • Pelbagai strategi dan taktik
  • Pelbagai prosedur kerja
  • Pelbagai teori
  • Pelbagai hipotesis
  • Pelbagai peraturan
  • Pelbagai hasil perundangan

Semua orang dilahirkan kreatif. Kreativiti adalah salah satu kemahiran sepertimana otot dalam diri badan kita. Jika ia tidak diasah atau digunakan, ia akan lumpuh atau hilang begitu sahaja.Berdasarkan kajian, kreatif dan inovatif adalah berbeza dengan kecerdasan dan kepandaian. Ada orang yang pandai tetapi tidak kreatif dan bukan semua orang cerdas itu kreatif. Orang yang cerdas dan pandai mempunyai IQ yang tinggi.Orang yang mempunyai IQ yang tinggi cemerlang di dalam kelas dan IQ ini digunakan tidak lama dahulu digunakan untuk menentukan tahap pekerjaan daripada profesional hingga ke bawah. Namun, keadaan sudah berubah dan ‚belajar kuat-kuat sahaja tidak dapat menjamin pekerjaan. Banyak contoh yang didapati contohnya Winston Churchill dan tunku Abdul Rahman mempunyai IQ rendah tetapi kreatif dalam memimpin. Walaubagaimanapun, bukanlah boleh dijadikan alasan jika IQ rendah maka tidak perlu berusaha di dalam kelas ! Hal ini demikian kerana orang yang kreatif sebenarnya rajin berfikir dan membuat eksplorasi dan pengamatan yang tidak difikirkan oleh orang lain.

Dr.Ben Michaels menyarankan beberapa langkah kepada ibu bapa untuk memupuk minat supaya anak-anak berfikir secara kreatif :

Menggalakkan rasa ingin tahu dan daya imaginasi

Memberi inspirasi kepada mereka supaya berfikir tentang apa yang mereka lihat dengan pemikiran yang berbeza, memperkenalkan sesuatu yang baru contohnya memperkenalkan makanan baru di rumah, serta meneroka budaya baru melalui pembacaan dan lawatan ke tempat yang unik.

Menggalakkan pemikiran kreatif dalam kehidupan seharian

Contohnya galakkan anak-anak berfikir tentang fungsi dan mengapa reka bentuk sedemikian dibuat dalam kehidupan seharian. Contohnya mengapa pesawat boleh terbang , mengapa bangunan tinggi boleh berdiri dengan kukuh, bagaimana telefon berfungsi dan sebagainya. Galakan pemikiran ini bukan sahaja menambah pengetahuan anak-anak dan ibu bapa malah mencabar dan menguji minda untuk mencari jawapannya.

Kesimpulannya, pemikiran kreatif dan inovatif perlu dipupuk sejak kecil lagi. Pemupukan pemikiran kreatif ini akan menjadikan kehidupan sehari-hari kita menjadi lebih ceria dan menarik. Budaya inovatif yang ditanam bermula dari rumah merupakan budaya yang perlu diteruskan pula di peringkat sekolah, tempat kerja, organisasi dan negara. Barulah impian melihat anak bangsa dan syarikat Malaysia untuk menjadi pelopor serta inovator yang disegani akan tercapai dan bukan setakat impian bermusim berdasarkan pucuk pimpinan tertinggi negara sahaja.

Sumber:

Ainon Mohd. & Abdullah Hassan 2005. Berfikir Seperti Inventor. PTS Milennia Sdn Bhd

www.innovation.my (Agensi Inovasi Malaysia)

www.yim.my ( Yayasan Inovasi Malaysia)

www.malaysiainovatif.gov.my ( Portal rasmi tahun sains dan gerakan inovasi nasional)

www.exquisite-minds.com

 Photo credit Thomas Hawk via photopin cc