Rasuah merupakan jenayah keji, mementingkan diri dan hak individu lain dirampas sewenang-wenangnya. Tiada lagi keadilan apabila rasuah membayangi sesebuah institusi, sifat amanah juga semakin luntur dalam diri apabila kemewahan daripada duit haram rasuah mula menjadi darah daging. Tidak hairanlah sesebuah negara akhirnya runtuh dilanda badai rasuah.

 

Menurut Ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Robert Phang Miow Sin, rasuah , sama ada kecil atau besar jumlahnya tetap jenayah yang harus dibanteras.

Beliau berkata, bermula dengan rasuah kecil, penjenayah rasuah lama kelamaan akan lebih berani untuk terlibat dengan rasuah lebih besar.Andai hari ini kita melepaskan rasuah-rasuah kecil berleluasa , umpama bermain dengan api yang kecil. Sewaktu kecil mungkin menjadi kawan, namun apabila ia semakin besar dan merebak, ia bertukar menjadi lawan yang ganas dan sukar dibendung lagi.Seperti api dalam sekam, ia mungkin bermula dari percikan api sebesar biji sawi.Jika dibiarkan, maka ia boleh merebak dan memusnahkan segunung sekam.

Begitulah juga rasuah.Jika rasuah-rasuah kecil tidak dikawal, lama-kelamaan ia menjadi suatu kebiasaan dalam masyarakat dan merebak menjadi rasuah besar.Apabila rasuah sudah menjadi kebiasaan, maka sangat sukar untuk mengawalnya pada waktu itu.

Tiupan angin tohmahan mengatakan SPRM hanya memberkas ‘kan bilis’ dan mebiarkan ‘ikan jerung’ bebas dilihat semakin hari semakin kencang.Namun Robert menegaskan , kedua-dua ikan bilis dan ikan jerung ini merupakan penjenayah rasuah. Maka kedua-duanya tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang .

SPRM komited untuk memerangi jenayah rasuah, sama ada ia berlaku dalam kalangan ‘ikan bilis’ atau ‘ikan jerung’. Malah katanya, ada kes rasuah yang berlaku dalam kalangan ‘ikan bilis’ namun impaknya adalah besar kepada negara.

‘Ikan bilis’

Istilah ‘ikan bilis’ dan ‘ikan jerung bukan lagi sesuatu yang asing bagi masyarakat di negara kita. Tambah pula ia sering ditiup oleh angin dari arah songsang.Maka tidak hairanlah jika istilah ini cepat benar menerjah masuk ke seluruh urat nadi masyarakat.

‘Ikan bilis’ merujuk kepada individu yang tidak berkedudukan dan tidak berpangkat. SPRM dicop gemar menangkap golongan ini daripada menangkap ‘ikan jerung’ yang merujuk golongan berkedudukan yang berpangkat. Namun sedarkah anda bahawa adakalanya rasuah yang dilakukan ikan bilis ini lebih berbahaya kepada negara?

Kes di jeti Pulau Ketam umpamanya berlaku dalam kalangan pegawai-pegawai bawahan Jabatan Imigresen yang boleh dikategorikan ‘ikan bilis’. Namun impaknya amat besar terhadap kedaulatan negara.Warga asing yang mendarat di jeti ini dengan mudah masuk ke negara kita tanpa perlu memiliki dokumen sah.Hanya berbekalkan ‘duit kopi’ mereka bebas menyelinap masuk ke negara ini untuk melakukan apa sahaja, termasuk jenayah.

Begitu juga kes yang berlaku di Kota Tinggi. Seorang lelaki didakwa menyeludup 13 pendatang tanpa izin dan cuba menyogok anggota polis sebanyak RM 7,000. Pelakunya ialah ‘ikan bilis’. Namun akibatnya jika dibiarkan boleh menyebabkan kedaulatan negara tergadai.

Kedua-dua kes di atas hanya melibatkan individu bukan dari golongan berprofil tinggi. Mereka tidak mempunyai pangkat dan kedudukan mahupun pengaruh dalam masyarakat, namun impak daripada perbuatan mereka adalah besar terhadap negara. Jika dibiarkan ‘ikan bilis’ ini bebas maka sudah pasti jumlah kes jenayah yang berlaku di kalangan pendatang asing tanpa izin ini akan meningkat. Daripada senario itu, apakah anda setuju golongan ‘ikan bilis’ ini dibiarkan?

Menurut Robert, usaha untuk menyiasat dan mengheret kes-kes berprofil tinggi (ikan jerung) ini  ke muka pengadilan bukanlah sesuatu yang mudah.

“Saya amat yakin SPRM telah menjalankan tugas dengan gigih. Saya percaya, semakin tinggi nilai rasuah dan semakin tinggi kedudukan serta pengaruh pesalah rasuah, maka semakin sukar ia dibuktikan.

“Dengan kecanggihan teknologi hari ini, rasuah yang melibatkan ‘ikan jerung’ tidak berlaku secara bersemuka seperti kebiasaannya berlaku dikalangan ‘ikan bilis’.Mereka sangat licik dan bijak mengatur strategi untuk mengelakkan perbuatan keji mereka dikesan dan dibuktikan,” kata Robert yang juga bekas Exco Transparency International Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di Megan Phileo Avanue, Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur.

Pun begitu, tidak kurang juga kes-kes rasuah melibatkan individu berprofil tinggi yang diistilahkan sebagai ‘ikan jerung; dibawa ke muka pengadilan.Dari Januari hingga April 2010, SPRM menahan 12 orang dari kumpulan pengurusan dan professional dan dua ahli politik, antaranya bekas Pengarah Perhutanan Negeri Kedah, bekas Ahli Parlimen Labuan, dan Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Selain itu, terdapat kes-kes melibatkan ‘jerung’ yang didakwa SPRM seperti isu Port Klang Free Zone (PKFZ) yang melibatkan individu –individu berprofil tinggi. Bukan senang , malah ramai individu yang mempunyai kedudukan dan pengaruh telah disiasat dan dibawa ke muka pengadilan.Dengan jumlah rasuah yang bernilai berbilion ringgit, SPRM dengan sedaya upaya menegakkan keadilan dengan melakukan sisatan secara terperinci dan profeional agar mereka terlibat mendapat pembalasan setimpal.

Kes curi balak juga diklasifikasikan sebagai berprofil tinggi.Kes yang berlaku di Pahang dan Selangor ini bukan sahaja merugikan negara, malah merosakkan habitat dan ekosistem semula jadi. Mereka yang mengumpul harta secara haram ini tidak lagi mempedulikan risiko berlaku kerosakan pada habitat flora dan fauna serta ancaman kepupusan pada spesies-spesies terancam. Pembalakan haram ini secara zahirnya mungkin dilakukan mereka yang tidak berkedudukan dan berpengaruh . Namun di sebaliknya, terselindung dalang yang bukan dari golongan sembarangan.

Begitu juga situasi dalam kes curi pasir yang masih lagi dalam siasatan. Hak dan keadilan tidak lagi dipedulikan apabila kebun-kebun penduduk kawasan tersebut dijadikan jalan untuk membawa hasil ‘rompakan’ keluar. Pasir diangkut dengan rakus tanpa rasa bersalah mencuri hasil bumi demi  kepentingan peribadi. Pengaruh yang digunakan untuk melaksanakan aktiviti bukanlah kecil.Pasti ada ‘jerung’ yang menjadi dalang di sebalik jenayah ‘curi pasir’.

Profil tinggi

SPRM juga telah mengheret seorang majistret di Kota Bharu ke muka pengadilan atas tuduhan menerima sogokan.Beliau telah dibuktikan bersalah oleh mahkamah dan sedang menjalani hukuman.Timbalan Ketua Pengarah Imigresen juga telah dipanggil oleh SPRM untuk membela diri di atas 14 tuduhan rasuah membabitkan jumlah RM 121,500.

Penahanan dan pendakwaan kes-kes berprofil tinggi ini membuktikan bahawa SPRM tidak pernah memilih bulu dalam melaksanakan tugasnya. Jelas dakwaan mengatakan SPRM hanya memberkas ‘ikan bilis’ sahaja dan membiarkan ‘ikan jerung’ bebas adalah sama sekali tidak berasas. Justeru, usah termakan hasutan pihak yang cuba menjadikan SPRM sebagai ‘ kambing hitam’ demi menjayakan agenda dan impian mereka.

“SPRM seharusnya tidak dicop sebagai hanya menyiasat kes-kes ‘ikan bilis’ kerana buktinya akhbar tempatan sentiasa menyiarkan penahanan dan pendakwaan yang dilakukan terhadap kes-kes berprofil tinggi,” katanya.

SPRM menurut Robert , telah melakukan siasatan dan mengumpul bukti secukupnya dan kes dibawa ke mahkamah. Kemudian ia terpulang kepada pihak mahkamah untuk menilai kes tersebut, sama ada boleh didakwa atau digugurkan.

Memerangi rasuah

Hari ini, SPRM berhadapan dengan tohmahan dan cemuhan masyarakat yang menyifatkan suruhanjya itu sebuah badan yang lemah.SPRM dituduh hanya menyiasat  kes-kes ikan bilis sahaja. Jika dibawa ke mahkamah pula, kebanyakan kes akan tewas atau digugurkan.

Robert berkata tohmaham tersebut adalah sangat tidak adil kepada suruhanjaya yang terbatas kuasanya.

“SPRM tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa sesebuah kes dan hanya menjalankan tugas menyiasat dan mengumpul bukti.Tugas mendakwa dan menentukan sesebuah kes itu boleh didakwa atau digugurkan adalah terletak pada kuasa mahkamah,” katanya.

Robert yang juga kesal dengan pengguguran beberapa kes berprofil tinggi oleh mahkamah menyeru masyarakat untuk tidak menjadikan SPRM sebagai musuh, sebaliknya turut bersama-sama SPRM membanteras rasuah.

“Memerangi rasuah bukanlah tugas SPRM sahaja, semua pihak termasuk agensi kerajaan, swasta, NGO, media dan masyarakat perlu sama-sama memainkan peranan masing-masing agar rasuah dapat dihapuskan.

“SPRM berjaya mengheret beberapa individu berprofil tinggi ke muka pengadilan dengan bukti-bukti yang mencukupi. Namun dengan hanya atas alasan faktor teknikal maka kebanyakan kes tersebut digugurkan oleh pihak mahkamah. Jadi mengapa SPRM yang telah berusaha menyiasat dan mengemukakan bukti cukup ini dipersalahkan?” soalnya.

SPRM katanya tidak pernah selektif atau membezakan antara satu pihak dengan yang lain dalam melaksanakan tugas-tugasnya. Sekiranya seseorang itu melakukan kesalahan rasuah atau penyalahgunaan kuasa, SPRM akan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka tanpa mengira pangkat atau taraf kedudukan seseorang itu.

“Penjenayah-penjenayah rasuah sebenarnya yang harus dijadikan musuh.Mereka inilah yang akan menghancurkan masa depan negara dan menjadi petualang bangsa.”

photo credit: Solo via photopin cc