Inovasi merupakan satu ilham yang cukup bernilai yang Allah SWT anugerahkan kepada seseorang. Cetusan ilham atau idea inovasi ini lazimnya terhasil melalui pengalaman, pembacaan, perbincangan, percambahan fikiran dan pemerhatian terhadap sesuatu perkara dalam menghasilkan produk dan perkhidmatan baharu dari yang sedia ada.  Inovasi yang terhasil ini pastinya dapat mempermudah dan mempercepatkan beberapa proses berbanding sebelumnya.

 

 

Islam memberi penekanan kepada persoalan inovasi kerana ia merupakan satu lagi bukti dan tanda kecemerlangan umat Islam. Apatah lagi sejarah membuktikan bahawa pada zaman kegemilangan Islam perkembangan ilmu sains, ilmu perubatan dan ilmu hisab itu dapat berkembang maju yang datangnya daripada kelompok cendiakiawan Islam yang berinovasi. Sehubungan itu, sejarah kebangkitan kegemilangan umat Islam perlu dikembalikan semula dengan menggalakkan umat Islam terus berinovasi.

Hal ini penting untuk meningkatkan lagi kekuatan serta perpaduan umat Islam di sampingmenggerakkan kemajuan negara. Tanpa berinovasi sesuatu transformasi atau pembaharuan sama sekali tidak boleh berlaku.  Namun, apa sahaja inovasi yang dilaksanakan itu perlulah tidak bertentangan dengan apa yang terkandung dalam al-Quran dan hadis.

Peri pentingnya menggalakkan umat Islam untuk berinovasi dalam segala tindak tanduknya dan perbuatannya itu pasti akan dapat menghasilkan satu lagi ilham baharu dalam produk dan perkhidmatan terutama dalam menyumbang kepada sesebuah organisasi ke satu tahap yang cemerlang.  Malah menerusi inovasi ini ia bukan sahaja dapat menjimatkan kos tetapi ia turut memberi impak yang baik kepada organisasi untuk terus berkembang maju kerana dapat mengoptimumkan penggunaan bahan mentah dan sumber.

Sejajar dengan itu, umat Islam perlu membina inovasi dengan erti kata lain menghasilkan sesuatu yang baharu dari yang sedia ada.  Sesuatu yang baharu itu perlu kepada satu aspek yang lebih bernilai dan efisyen bagi memenuhi kehendak pasaran.  Ini penting kerana apabila permintaan pasaran dipenuhi, maka ia akan turut sama membantu dalam memaksimumkan keuntungan kepada organisasi. Namun, timbul persoalan benarkah sebilangan besar produk dan perkhidmatan inovasi yang dihasilkan di  menara-menara gading di negara ini tidak memenuhi kehendak pasaran?

Walaupun sudah banyak Institusi Pengajian Tinggi (IPT) atau di menara-menara gading menghasilkan teknologi berinovasi dan telah memenangi beberapa anugerah di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa namun, jarang sekali kita melihat inovasi yang ada di menara gading itu  berjaya sampai di pasaran?  Mengapa kejayaan di universiti dalam menghasilkan inovasi hanya sekadar menjadi bahan rujukan, bahan akademik dan bahan kemegahan di pameran semata-mata? Dan kenapa produk yang dihasilkan itu tidak dapat berkembang dan tidak boleh dikomersialkan?

Keadaan ini cukup berbeza dengan apa yang dihasilkan oleh masyarakat di Barat. Di sana sebagai contoh, inovasi yang dihasilkan kebanyakannya mengikut kehendak pasaran. Apabila inovasi tersebut mengikut kehendak pasaran, maka inovasi yang dihasilkan boleh dipasarkan bagi memenuhi permintaan pengguna. Barangkali ada yang tidak sedar bahawa di pasaran produk seperti Blackberry, iPhone dan Netbook merupakan antara produk cetusan inovatif masyarakat Barat yang berjaya mendapat tempat di  kalangan pengguna dan mendapat sambutan hebat serta memenuhi kehendak pasaran. Begitu juga dengan aplikasi penggunaan seperti Facebook, Twitter dan You Tube yang turut mencetus idea baharu dalam lanskap media komunikasi yang antaranya juga datang dari Barat.

Justeru,  umat Islam hari ini perlu mencari alternatif bagaimana untuk menghasilkan  produk dan perkhidmatan berinovasi supaya dapat dimanfaatkan oleh semua masyarakat. Produk berinovasi yang dihasilkan tidak bermakna sekiranya tidak dapat dikomersialkan dan tidak memenuhi permintaan pasaran.

Oleh itu, dalam rangka persediaan menggalakkan inovasi ini, salah satu elemen yang penting ialah menerusi Pembangunan dan Penyelidikan (R&D). Dalam menerajui inovasi ini umat Islam tidak boleh duduk diam atau statik tanpa membuat sebarang penyelidikan atau penambahbaikan ke atas produk atau perkhidmatan yang sedia ada. R&D yang berterusan penting bagi mendapat ilham baharu ke atas produk yang tinggi kualiti dan nilainya bagi memenuhi citarasa pengguna. Melalui geran penyelidikan seperti dana Intensification of Research in Priority Area (IRPA) yang kini dikenali sebagai Science Fund dan Techno Fund ia dapat merangsang dan  menggalakkan R&D terus bergerak.

Walau bagaimanapun, R&D ini memerlukan ilmu yang secukupnya. Sebagai contoh, penyelidikan yang dijalankan tidak cukup sekadar membuat rujukan di perpustakaan tetapi perlu kepada pendedahan dan pencarian ilmu yang lebih mendalam menerusi pencarian data sama ada melalui media elektronik, makmal dan sebagainya. Di samping penekanan kepada aspek pembelajaran yang berterusan.  Jika dalam organisasi pemupukan inovasi dalam diri pekerja itu penting, maka para pekerja Muslim boleh memupuk budaya perkongsian ilmu melalui percambahan fikiran seperti mengadakan perbincangan dan perundingan. Medan percambahan fikiran yang disebut syura ini juga dilihat dapat memudahkan penjanaan idea serta dapat menggarap beberapa pandangan dalam menghasilkan inovasi yang dapat dimanfaatkan oleh masyarakat.

Begitu juga  dalam usaha menggalakkan inovasi dalam kalangan pekerja Muslim, organisasi juga boleh bertindak dengan memberi ruang, pengikhtirafan atau penganugerahan dalam bentuk insentif kepada individu atau kumpulan yang berjaya menghasilkan inovasi. Ini juga merupakan salah satu sokongan majikan untuk menggalakkan pekerjanya terus berinovasi.

Dalam masa yang sama juga disarankan agar setiap kementerian atau jabatan yang mempunyai peruntukan terutama dalam R&D turut sama membantu merangsang inovasi dalam kalangan pekerja Muslim atau merentasi organisasi Muslim. Selain dapat meningkatkan kerjasama antara industri, kerajaan dan institusi penyelidikan bagi memastikan hasil R&D ini dapat dimajukan hingga ke peringkat pengkomersialan. Dengan bantuan kerajaan ini maka, inovasi yang dihasilkan itu dapatlah dilindungi daripada dicerobohi atau diciplak oleh pihak lain.  Apatah lagi inovasi mempunyai nilai pasaran yang cukup tinggi.  Ini juga sebagai tanda sokongan padu kerajaan untuk menggalakkan budaya inovasi di kalangan umat Islam terus berkembang maju.

Justeru, dalam memastikan umat Islam terus berinovasi maka sokongan daripada masyarakat juga amat diperlukan.  Marilah kita sama-sama bekerjasama dalam menyokong menjayakan pembangunan inovasi yang berkesan.  Usaha penganjuran Karnival Inovasi Islam Peringkat Kebangsaan 2011 yang bertemakan “Inovasi Teras Tamadun Ummah” dilihat satu lagi pencapaian dalam mendekatkan umat Islam dalam dunia inovasi. Semoga dengan adanya seminar, bengkel, forum, pameran serta anugerah kecemerlangan inovasi yang diberikan di karnival itu akan menjadi pemangkin dan semangat kepada umat Islam untuk terus berinovasi dan berdaya maju seterusnya dapat membangkitkan kembali sejarah kegemilangan umat Islam.

Artikel ini disumbangkan oleh IKIM