Skala gaji rendah dan kos sara hidup tinggi bukanlah punca utama berlakunya rasuah dalam kakitangan sokongan perkhidmatan awam. Kajian yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati rasuah berpunca daripada kelemahan dalam diri individu seperti mempunyai sikap tamak, ingin cepat kaya, berbelanja melebihi pendapatan dan hidup mewah. Selain itu, kelemahan dalaman sesebuah organisasi akibat dari kepimpinan yang lemah, sistem dan prosedur yang tidak telus, kerenah birokrasi serta kuasa budi bicara yang luas menyebabkan ruang dan peluang rasuah terbuka luas.

Apakah benar wujudnya peningkatan kes-kes rasuah dalam kalangan penjawat awam? Berdasarkan perangkaan tangkapan ke atas penjawat awam bagi tiga tahun, iaitu  2007, 2008 dan 2009 , kes-kes rasuah yang melibatkan penjawat awam didapati semakin menurun.

Ini menunjukkan bahawa tahap integriti serta kesedaran penjawat awam terhadap kesalahan rasuah semakin meningkat. Pada tahun 2007, daripada sejumlah 591 orang yang telah ditangkap atas kesalahan rasuah, seramai 303 atau 51 peratus daripadanya adalah penjawat awam.

Terdapat penurunan dalam perangkaan tangkapan ke atas penjawat awam dalam tahun 2008 di mana hanya 282 orang atau 47 peratus sahaja yang ditangkap berbanding keseluruhan tangkapan sebanyak 605 orang.

Penurunan ini jelas ketara dalam tahun 2009, bila mana hanya 194 orang sahaja penjawat awam yang ditangkap iaitu 39 peratus daripada jumlah tangkapan seramai 500 orang.

Dari segi perangkaan jumlah pertuduhan kes-kes rasuah terhadap penjawat awam juga menunjukkan trend penurunan yang ketara bagi tempoh tiga tahun kebelakangan ini.Dalam tahun 2007, terdapat 133 pertuduhan ke atas penjawat awam. Menurun kepada 104 pertuduhan dalam tahun 2008 dan menurun lagi kepada hanya 90 pertuduhan dalam tahun 2009.

Ini jelas memperlihatkan bahawa tahap kesedaran penjawat awam terhadap kesalahan rasuah dan tanggungjawab memerangi jenayah ini semakin meningkat.Faktor-faktor yang membawa kepada pengingkatan ini adalah berdasarkan kepada program-program yang diperkenalkan oleh kerajaan termasuklah aktiviti kesedaran yang dilaksanakan oleh Bahagian Pendidikan Masyarakat, pelaksanaan Modul Pencegahan Rasuah dalam kursus-kursus induksi dan kenaikan pangkat pegawai-pegawai awam,dasar-dasar semasa kerajaan termasuk meningkatkan system penyampaian perkhidmatan, penubuhan Jawatankuasa Tadbir Urus Terbaik (JKTU) dan sebagainya.

Di atas pengingkatan dalam tahap kesedaran ini, pegawai-pegawai awam sendiri berani tampil melaporkan tawaran rasuah sehingga membawa kepada tangkapan ke atas pemberi-pemberi rasuah. Sebagai contoh dalam tahun 2007, seramai 89 penjawat awam tampil melaporkan tawaran rasuah, pada tahun 2008, 81 orang melaporkan tawaran rasuah dan 79 orang dalam tahun 2009. Sepanjang tiga bulan ini sahaja, seramai 14 penjawat awam tampil membuat aduan terhadap tawaran rasuah. Ini menunjukkan satu trend yang amat membanggakan di mana tahap integriti yang dilaung-laungkan kerajaan selama ini semakin menjadi kenyataan.

Selaras dengan perkembangan ini juga,SPRM akan melaksanakan kempen anti rasuah secara besar-besaran bagi menangkap pemberi-pemberi rasuah  yang cuba menawarkan suapan rasuah kepada penjawat awam.

Pegawai awam juga sentiasa diingatkan kewajipan mereka untuk melaporkan apa-apa suapan rasuah sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 25(1) Akta SPRM yang mana jika gagal berbuat demikian boleh didenda tidak melebihi RM 100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

SPRM ingin memberi amaran tegas kepada orang ramai agar menjauhi amalan menyogok kakitangan awam. Sekiranya tertangkap, hukuman berat pasti menanti anda termasuk penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima ganda suapan atau RM 10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Artikel sumbangan SPRM: KPKPj. Datuk Ahmad Khusairi Yahaya
photo credit: miuenski via photopin cc