Pepatah Melayu ada menyebut “orang berbudi kita berbahasa. Orang memberi kita merasa”. Frasa tersebut sudah cukup menunjukkan bahawa amalan memberi dan menerima hadiah telah menjadi budaya dalam masyarakat kita.Pemberian hadiah bertujuan melahirkan rasa terima kasih, dan sebagai satu cara menjalin serta mengekalkan hubungan persahabatan atau kekeluargaan. Ia juga diberi atas pelbagai alasan sama ada tanda ingatan, pengiktirafan atau penghargaan terhadap budi baik, jasa serta pengorbanan seseorang.

 

Agama Islam tidak melarang penganutnya untuk memberi dan menerima hadiah. Begitu juga dengan agama dan kepercayaan lain. Bagaimanapun, hadiah yang diberi dengan tujuan tidak baik akan menjadi haram di sisi agama dan boleh menjadi kesalahan undang-undang. Abu Abdul Halim Ahmad dalam bukunya “Bahaya   Rasuah Kepada Masyarakat Islam”membahagikan hadiah kepada tiga kategori.

Pertama, hadiah yang halal bagi pemberi dan halal juga bagi penerima. Hadiah ini diberi kepada seseorang semata-mata untuk mewujudkan perasaan kasih saying sesama insan. Hadiah sebegini bertepatan dengan hadis Rasullullah SAW yang diriwayatkan Ibnu Asakir “Hendaklah kamu saling memberi hadiah, maka tercipta rasa saling sayang menyayangi dan mencintai.”Malah, hadiah yang diberi atas dasar perasaan kasih sayang ini amat digalakkan dalam Islam.

Kedua, hadiah yang halal bagi pemberi , tetapi haram bagi orang yang menerimanya. Menurut Ibnu Taimiyah “Jika seseorang memberi hadiah kepada orang yang berhak sebagai imbahan (balasan) untuk mencegah kezaliman daripadanya, atau untuk mendapatkan haknya yang mesti ditunaikan oleh penerima hadiah, maka hadiah itu haram bagi penerima dan halal bagi pemberi “(fatwa 4/203).Hadiah sebegini merujuk kepada pemberian hadiah atas dasar seseorang itu berasa takut kepada orang yang menerima hadiah tersebut. Dalam situasi ini, si pemberi menjadikan hadiah sebagai pelindung jiwanya. Dia mengharapkan dengan pemberian tersebut, mampu menghentikan perbuatan zalim yang boleh dilakukan si penerima ke atasnya. Oleh itu, menurut Ibnu Taimiyah, hadiah berkenaan menjadi halal kepada pemberi tetapi haram kepada yang menerimanya.

Ketiga, hadiah yang haram bagi pemberi dan haram juga bagi penerima. Sekali lagi Ibnu Taimiyah menjelaskan “Barang siapa yang memberikan hadiah kepada waliyul amr untuk melakukan perbuatan yang tidak diperbolehkan (pelanggaran), maka hadiah tersebut adalah haram bagi pemberi dan penerima. Hadiah di sini sama dengan rasuah yang diharamkan ( fatwa 4/203). Dalam kata lainnya, hadiah ini diberi dengan harapan hajatnya dipenuhi oleh si penerima. Oleh itu, hadiah tersebut hukumnya haram bagi pemberi dan haram juga bagi penerimanya.

Begitulah pandangan Islam terhadap hadiah.Dari segi undang-undang pula, terdapat peraturan yang jelas , terutama kepada penjawat awam yang melarang pemberian dan penerimaan hadiah. Berdasarkan pekeliling Perkhidmatan Bil.3 tahun 1998 menggariskan ; setiap pegawai awam dilarang daripada menerima atau memberi hadiah jika ia berkaitan dengan tugas awamnya atau jika nilainya tidak sepadan dengan maksud hadiah yang diberi itu.

Menurut Pekeliling tersebut , penerimaan hadiah hanya dibenarkan dalam keadaan seperti hadiah daripada rakan sekerja sempena persaraan, pertukaran , dan perkahwinan pegawai, daripada isteri / suami dan keluarga, hadiah diterima sempena sesuatu majlis seperti hari jadi, perkahwinan atau yang berkaitan dengan adat resam dan agama, serta penerimaan  hadiah yang cepat rosak dan tidak tahan lama seperti buah-buahan , kuih-muih, minuman ringan , bunga dan sebagainya.

Sekiranya seseorang penjawat awam melakukan pelanggaran terhadap peraturan ini, penjawat awam terbabit bukan sahaja terdedah kepada tindakan tatatertib jabatan , malah mereka juga berisiko untuk dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Peruntukan tersebut menyatakan ; adalah menjadi satu kesalahan di sisi undang-undang apabila seorang penjawat awam menerima benda berharga tanpa ada balasan daripada pihak-pihak yang mempunyai urusan rasmi dengan penjawat awam tersebut.Sekiranya didapati bersalah oleh mahkamah , hukumannya boleh dipenjarakan maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kesimpulannya, sebelum anda menerima sesuatu hadiah , perlu ditanya apakah tujuan hadiah tersebut diberi? Atau adakah “ada udang di sebalik batu”. Kalau anda penjawat awam, berhati-hati dengan hadiah kerana ia boleh menjadi racun berbisa.Jangan jadikan alasan “orang lalin boleh terima hadiah, mengapa aku tidak boleh? “untuk anda menerima sesuatu hadiah.

Jangan jadi seperti lalang yang hanya mengikut tiupan angin.Ikutlah resmi ikan di lautan, walaupun di kelilingi air laut yangmasin, tetapi isinya tetap manis dan tidak pernah terpengaruh dengan persekitarannya.

Artikel Sumbangan : SPRM 
photo credit: Santinha – Casas Possíveis via photopin cc