Kita baru sahaja menyambut awal tahun baru Maal Hijrah 2 minggu lepas. Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah kerana ini bermakna kita di anugerahkan dengan pertambahan tahun. Lagi pula, selang beberapa minggu lagi, 2014 akan melabuhkan tirai bagi menyambut tahun baru masihi pula. Sungguh cepat masa berlalu tanpa kita sedari. Saya mengingatkan diri sendiri serta pembaca sekelian tentang apa yang telah dicapai pada tahun sebelum ini.

Adakah semua azam kita tahun lepas sudah terlaksana ? Atau masih ditahap yang sama? Bagi pelajar pula, bagaimana dengan prestasi pelajaran ? Adakah sudah meningkat ? Atau masih tercorot di setiap penggal peperiksaan? Bagi yang sudah terlaksana azam dan mencapai keputusan yang cemerlang, tahniah di ucapkan . Semoga kejayaan tersebut terus memberi perangsang kepada kita untuk meneruskan kecemerlangan. Bagi yang sederhana dan gagal peperiksaan, semoga dijadikan iktibar untuk lebih berusaha. Apatah lagi musim cuti persekolahan yang panjang ini sewajarnya di gunakan untuk mengkaji dan mengulang mata pelajaran yang lemah. Saya percaya kebanyakan pelajar telah pun menerima buku teks untuk digunakan didalam kelas tahun hadapan. Apa salahnya kita ‘advance’sedikit dengan membaca buku-buku ini bagi memberi pendedahan awal sebelum memasuki kelas tahun hadapan.

Musim cuti sekolah juga tidak semestinya dihabiskan dengan bercuti sakan ke sana dan kemari.Bagi yang berkemampuan, percutian sebegini boleh membuka minda bak kata pepatah ‘ jauh perjalanan luas mata memandang’. Namun, bagi yang tidak berkemampuan, musim cuti sekolah boleh digunakan untuk mencuba dan meneroka hobi-hobi baru yang kreatif dan tidak memerlukan belanja yang besar. Hobi-hobi yang disarankan dalam keluaran-keluaran yang lepas sebenarnya mampu dijadikan aktiviti yang berfaedah.

Berbalik kepada ‘bersyukur untuk berubah’, setiap orang sebenarnya mempunyai motivasi yang tersendiri termasuklah pelajar yang dikatakan lemah  dan mempunyai pencapaian yang rendah di sekolah. Menurut Amla Salleh (2008), teori  keperluan manusia Maslow menyatakan bahawa setiap manusia mempunyai keinginan untuk memajukan diri sendiri. Justeru, setiap pelajar sebenarnya mempunyai keinginan untuk belajar dan meningkatkan keupayaan diri sendiri. Jika kita masih gagal dalam mencapai kecemerlangan dalam pelajaran, usah putus asa. Mungkin sebenarnya itu adalah hikmah dan pendorong kepada kita untuk terus lebih maju. Kajian yang dilakukan oleh Dr.Amla menyatakan  mengenai situasi pelajar yang lemah dan gagal serta cara pembelajaran dan teknik motivasi yang sesuai untuk meningkatkan kemahiran belajar. Menurutnya,  kelompok pelajar ini merupakan 40 – 60 % daripada jumlah keseluruhan pelajar di Malaysia dan hasil kajian yang dijalankan ialah cara pembelajaran yang paling sesuai untuk kelompok ini adalah pembelajaran aktif dan praktikal. Tetapi disebabkan sistem pendidikan yang lebih memberatkan kepada akademik, kita yang digelar sebagai pelajar lemah dan bermasalah sering menjadi cemuhan dan tidak mendapat perhatian pihak sekolah, guru dan ibu-bapa. Sememangnya memang sukar untuk menepis dan menukar persepsi orang sekeliling.Apatah lagi jika tiada sokongan langsung daripada orang yang terdekat. Yang ada Cuma rakan sebaya yang seangkatan dengan kita. Lebih buruk lagi jika rakan itu membawa kesan negative seperti ponteng sekolah, merokok, menagih dadah dan sebagainya. Nauzubillah. Kita berdoa agar tidak terjebak sehingga ke peringkat itu.

Justeru, masih ada luang untuk kita berubah. Sekurang-kurangnya untuk diri sendiri dan masa depan. Kita mungkin tidak boleh menyangkal sistem yang sedia ada kerana semua sistem memang tidak sempurna. Disebabkan itulah kita melihat pelbagai transformasi pendidikan yang dibuat saban tahun. Walaupun belum menyeluruh fasiliti yang disediakan, sekurang-kurangnya kini  SPM menyediakan sistem terbuka yang lebih fleksibel dan syarat lulus yang minimum dengan jumlah matapelajaran yang diambil minimum. Selain itu, usaha Kementerian Sumber Manusia juga menyediakan laluan alternatif iaitu laluan kemahiran yang membolehkan pelajar yang tidak mendapat tempat di IPTA tetap memiliki keupayaan untuk meneruskan pelajaran di peringkat tertinggi.

Sekiranya sekarang kita masih terpinga-pinga, tibalah masanya untuk kita cuba mengenali Allah dan diri sendiri. Melalui proses kenali diri, kita akan tahu dimanakah sebenarnya minat dan bakat yang ada dalam diri. Seterusnya, tanamkan azam untuk berubah daripada sikap-sikap negatif kepada yang positif. Buangkan jauh-jauh nilai-nilai yang kurang elok dan percaya kepada diri sendiri bahawa ‘aku boleh’. Pelbagai laluan yang disediakan oleh kerajaan janganlah disia-siakan oleh anak bangsa kita sendiri. Pengiktirafan sijil, diploma, ijazah dan sebagainya sememangnya penting di negara kita yang kian pesat membangun. Namun apa yang lebih penting adalah kemahiran dan sikap diri sendiri yang mampu mengubah laluan hidup kita. Bersyukurlah kepada Allah kerana kita masih mempunyai ruang dan luang untuk kita berubah!

photo credit: Alan Cleaver via photopin cc