Sebagai umat Islam, kita mestilah mempunyai kekuatan diri yang tinggi agar tidak mudah lemah dan rebah di pertengahan jalan. Sebagai pelajar, kekuatan datang dengan pemahaman terhadap Islam yang tinggi berkat ilmu dan sokongan daripada ibu-bapa, guru, dan rakan sebaya.

Di sini sekali lagi peranan ibu-bapa memainkan peranan yang penting dalam membina jati diri dan kekuatan emosi dalam diri anak-anak. Ini adalah kerana 70% daripada pembelajaran anak-anak tentang dunia dan kehidupan datangnya daripada ibu-bapa. Allah telah menjadikan manusia sebagai sebaik-baik makhluk di dunia ini dan ia jelas dalam maksud surah At-Tin , ayat 4 , Firman Allah swt:

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.”

Oleh itu, setiap insan perlulah menghargai dan bersyukur ke atas nikmat yang dikurniakannya. Sebagai ibu-bapa, nikmat kurniaan cahaya mata seharusnya dinikmati dengan mengajar dan mendidik mereka ke arah Al-Quran, sunnah dan hadis. Saya mengingatkan diri saya dan juga para pembaca :

  1. Pernahkah kita membacakan hadis kepada anak-anak kita ?
  2. Berapa kalikah kita menerapkan dan mengamalkan hadis-hadis yang dibaca dalam kehidupan seharian ?
  3. Berapa kalikah kita merujuk kepada Al-Quran dan hadis dalam setiap perkara?
  4. Masihkah kita menjadikan Al-Quran dan mengingati Allah di saat kita susah ?

Hal ini demikian penting kerana manusia merupakan khalifah di bumi ini sebagaimana yang difirmankan Allah swt dalam Surah Al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

Sebagai ibu-bapa , kita tentulah ingin melihat anak kita berjaya di dunia dan di akhirat serta tidak menjadi manusia yang sia-sia. Sebagai pelajar pula kita harus sedar bahawa potensi kita memang hebat kerana Allah telah pun mengangkat manusia sebagai khalifah di dunia dan di beri akal dan minda. Namun, Allah juga telah mengatakan bahawa manusia kelak akan berada di tahap paling bawah kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Pengertian khalifah ini bukan sahaja merujuk kepada pemimpin negara atau dalam organisasi sahaja. Malah ia bermula dengan menjadi khalifah kepada diri sendiri, keluarga, dan masyarakat. Menyedari akan hakikat kejadian manusia ini, seharusnya kita mengambil iktibar untuk lebih telus dalam melakukan sesuatu sehingga berjaya dan cemerlang dengan menjadikan Al-Quran dan hadis sebagai sumber rujukan utama kita.

Untuk membina kekuatan diri bukanlah mudah dan memerlukan disiplin yang tinggi.

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dikasihi Allah daripada orang mukmin yang lemah, pada masing-masing itu ada kekuatan. Bersungguh-sungguhlah terhadap perkara yang memberi manfaat kepada kamu. Mintalah pertolongan daripada Allah dan jangan lemah. Jika sesuatu menimpa kamu maka jangan kamu kata: kalau aku buat begini tentu akan jadi begini. Tetapi ucapkanlah Allah telah menentukan dan Dia telah lakukan apa yang Dia kehendaki, kerana sesungguhnya `kalau’ itu membuka peluang syaitan bertindak.” (hadis riwayat Muslim, Ibn Majah dan Ahmad)

Allah s.w.t. berfirman:

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya.” (al-Anfal: 60)

Berdasarkan petikan hadis dan firman Allah yang tersebut , kita tidak boleh menjadi lemah kerana lemah akan mengundang pelbagai perkara termasuklah :

  • Lemah semangat menjadikan diri tidak bermaya menjalani kehidupan. Dalam konteks pelajar, orang yang lemah semangat contohnya gagal dalam peperiksaan atau gagal menjawab soalan guru menjadikan kita kurang motivasi untuk ke sekolah. “gagal sekali bukan gagal selama-lamanya”
  • Takut menghadapi cabaran menjadikan kita ketinggalan daripada orang lain
  • Tidak teguh pendirian, tidak yakin
  • Was-was
  • Bakhil dalam konteks pelajar, ilmu perlulah dikongsi bersama rakan-rakan. Kita tidak boleh bersikap bakhil kerana semakin banyak ilmu yang dikongsi sebenarnya meningkatkan lagi kefahaman kita

Sebaliknya kita perlulah meningkatkan kekuatan diri dengan bersungguh-sungguh kerana sememangnya ia dituntut oleh Islam. Kekuatan diri dan disiplin boleh didapati sebenarnya melalui penghayatan kita dalam solat. Solat yang sempurna mampu melatih diri supaya  :

  • Fokus
  • Menghargai dan menepati  masa
  • Sebagai benteng menghindarkan kita daripada melakukan maksiat , dosa dan kejahatan walau sekecil zarah
  • Menjadi orang yang lebih patuh , terjaga akhlak dan tingkah laku

Selain itu, kita disarankan supaya banyak berdoa kepada Allah dan meminta pertolongan daripadaNya.

Rasulullah s.a.w. mengajar umatnya supaya melengkapkan diri dengan kekuatan dan menyuruh umatnya sentiasa berdoa supaya terhindar dari sifat lemah:

Daripada Anas bahawa Rasulullah s.a.w. selalu berdoa:

Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada kelemahan, kemalasan, sifat penakut, kebakhilan, tua yang nyayuk. Dan aku berlindung dengan daripada azab kubur, dan aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah kehidupan dan kematian. (Hadis riwayat Abu Daud )

Kita juga hendaklah menjauhi perkataan ‘kalau’ kerana ia membuka ruang kepada hasutan syaitan dan membuka ruang kepada was-was dan putus asa sebagaimana yang disebut dalam hadis di atas. Setiap perkara yang terjadi pasti ada hikmahnya dan kita mesti yakin bahawa Allah maha Adil. Sekiranya kita gagal dalam sesuatu perkara, kita janganlah menyesal kerana usaha yang telah dilakukan itu tetap dikira. Kegagalan sepatutnya mematangkan  kita dan setiap kelemahan yang dikenalpasti harus diatasi dan dijadikan sebagai kekuatan. Akhir sekali, rancanglah perjalanan hidup kita dengan lebih teliti supaya kegagalan dan kesalahan yang sama tidak berbuah dua kali.. Sekian, Wallahu a’lam .

Anuar Ibrahim
Photo credit: Pulpolux !!! via photopin cc

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

Subscribe To Our Newsletter

Subscribe To Our Newsletter

Join our mailing list to receive the latest news and updates from our team.

You have Successfully Subscribed!