Dalam keluaran yang lepas, pembaca telah pun didedahkan dengan kaedah perbatuan atau milestone. Kesinambungan berkenaan cara penyediaan jadual, career2zoom ingin berkongsi maklumat mengenai teknik dan kemahiran pembelajaran yang amat penting untuk kita kuasai iaitu teknik membaca. Umum mengetahui bahawa keperluan membaca adalah untuk semua golongan dari kanak-kanak sebelum pra-sekolah sehingga golongan tua atau dikenali sebagai ‘life long learning’. Namun, kita menyedari bahawa terdapat tahap-tahap pembacaan yang berbeza disetiap peringkat.

Pembacaan harus dimulakan sejak kecil lagi. Bagi bayi dan kanak-kanak kecil, ibu-bapa disarankan untuk membacakan buku kepada mereka bagi menanam kecintaan terhadap buku dan budaya membaca. Justeru, peranan ibu-bapa sangat penting  kerana di situlah bermulanya pendedahan awal kanak-kanak terhadap buku. Terdapat banyak kaedah yang diperkenalkan melalui kajian-kajian yang telah dilakukan oleh pakar pendidikan di barat mahupun timur. Antaranya termasuklah kaedah fonetik, kaedah suku kata, montessori serta pelbagai jenama yang terdapat di pasaran Malaysia seperti Bacalah Anakku, Readeasy, i-sina, dan Cahayaku. Namun, kajian yang dilakukan oleh Hasnalee dari Jabatan Pengajian Melayu (2008) menyatakan masih ramai pelajar di Malaysia yang tercicir daripada penguasaan ini sehingga kerajaan mewujudkan program KIA2M (Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis). Pun begitu,  masih ramai yang ketinggalan dalam menjalani program ini kerana menurut kajian beliau rata-rata pelajar yang mengalami masalah membaca terdiri daripada mereka yang berpendapatan rendah (RM 500  kebawah) dan dari sekolah luar bandar. Kaedah pembacaan kanak-kanak ini adalah satu topik besar dan perlu difokuskan lagi di keluaran akan datang. Apa yang penting ingin disampaikan oleh penulis ialah sekiranya terdapat kaedah untuk belajar membaca, anda juga perlu tahu bahawa terdapat juga kaedah membaca untuk belajar.

Perkara ini sering diambil ringan kerana menjelang usia 11 atau 12 tahun di mana kebanyakan daripada kita yang sudah boleh memahami sesuatu karangan atau buku dianggap sebagai pembaca yang baik. Hakikatnya, terdapat kaedah yang sepatutnya diajar sebagai subjek asas kepada pelajar samada di peringkat sekolah, kolej, universiti dan syarikat. Hal ini demikian kerana segala laporan, buku dan tesis adalah kompleks dan memerlukan kemahiran dan kepantasan membaca dan memahaminya. Berbanding dengan kemahiran lain yang kebiasaannya ditingkatkan dari hari ke sehari, membaca juga memerlukan proses yang sama.Dengan kaedah yang betul, pembaca akan dapat mebaca dengan lebih efektif, cepat, efisien, pemahaman lebih tinggi seterusnya menjimatkan masa. Seringkali kita dengar bahawa pelajar kurang minat membaca dan menurut kajian yang dilakukan oleh PNM  (Perpustakaan Negara Malaysia ) terhadap profil membaca rakyat Malaysia pada tahun 2005 secara purata hanyalah sebanyak 2 buah buku setahun. Angka ini meningkat kepada 9 hingga 12 buah buku setahun pada tahun 2009 bagi umur 10 tahun keatas. Justeru, program kemahiran membaca penting untuk menganjak budaya membaca masyarakat Malaysia. Pelbagai kaedah yang telah diperkenalkan oleh pengkaji dari barat seperti teknik ‘speed reading’, ‘photo reading’, ‘skimming’. Manakala kajian literatur oleh Dr Baharudin (2007) dari UTM menggariskan beberapa teknik membaca iaitu :

  • Teknik Membaca SQ3R (Survey-Question-Read-Recite-Review
  • Teknik Membaca KWLH ( Know- Want-Learned-How)
  • Teknik Membaca REAP (Read, Encode, Annote, dan Ponder)

Di keluaran kali ini, career2zoom mefokuskan kepada teknik membaca cepat dan pantas iaitu ‘speed reading’. Kaedah speed-reading ini telah ditemui oleh Evelyn Wood , seorang guru sekolah pada tahun 1950 dan diberi kredit oleh Presiden John F. Kennedy  dan Presiden Jimmy Carter di mana mereka mengarahkan kesemua kakitangan ‘white house’ mempelajari teknik ‘wood’ untuk membaca secara cepat. Wood sangat teruja untuk mengetahui mengapa sesetengah orang membaca dengan cepat dan sesetengahnya lambat. Secara tidak sengaja, beliau mendapati menggunakan tangan sebagai penunjuk mempercepatkan proses membaca. Beliau seterusnya memperkenalkan ‘teknik wood’.Pada tahun 1958 , ia di gantikan dengan ‘Reading Dynamic’ dan dikenali sebagai ‘speed reading’ .Kini terdapat pelabagai perisian komersial yang dapat membantu anda untuk membaca secara pantas.Walaubagaimanapun kesemua perisian tersebut adalah versi berbahasa inggeris yang kebanyakannya dibangunkan oleh pengkaji dari Amerika Syarikat, Australia dan Britain.

Perlu diingat  bahawa matlamat speed read adalah meningkatkan kepantasan serta kefahaman terhadap pembacaan. Tidak ada gunanya sekiranya anda membaca telalu laju tetapi tidak memahami apa yang dibaca. Oleh itu, sebelum memulakan teknik speed read ini, anda mestilah boleh membaca dan faham dengan baik serta mengetahui secara amya kosa kata (vocabulary) dan makna perkataan. Kajian yang dilakukan keatas rakyat Amerika, seseorang yang dianggap ‘slow reader’  adalah mereka yang membaca 110 perkataan kebawah seminit dan 1000 perkataan seminit dianggap ‘ advanced reader’. Secara purata  rakyat Amerika membaca 300 perkataan seminit dengan 70% pemahaman. Statistik ini menunjukkan tahap pembacaan pantas di negara maju. Career2zoom masih belum menjumpai kajian yang dijalankan di Malaysia. Speed reading juga selalunya digunakan oleh pembaca yang ingin mendapat maklumat dengan cepat contohnya dalam bidang pekerjaan, pemahaman buku teks di sekolah atau universiti. Ia tidak sesuai untuk pembacaan santai seperti novel atau majalah.

Secara amnya, teknik speed reading meliputi :

  1. Dimulakan dengan ‘skimming’ secara imbas mengenai idea penulis, rangka karangan serta apa yang ingin disampaikan oleh penulis. Memberi perhatian kepada perkatan yang timbul (bold). Secara am membaca isi kandungan buku.

  2. Pra-membaca untuk mengetahui sama ada penulisan atau buku itu patut anda baca atau tidak.

  3. Membaca menggunakan alat bantuan seperti pen atau jari untuk membaca. Membaca dengan 3-4 perkataan sebagai ‘chunk’ atau kumpulan sekaligus  berbanding baca perkataan demi perkataan.

  4. Berlatih membaca pantas selalu memberikan kelebihan kepada anda kerana anda akan tahu sebahagian besar ayat yang boleh di abaikan.

Sebelum anda memulakan speed reading , adalah lebih baik jika anda mengetahui tahap pembacaan anda sekarang. Anda boleh menggunakan ujian ‘speed read’ secara online.

Anda boleh melayari laman web yang tertera untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ‘speed read’ :

Ujian ‘speed read’ Online:

http://www.readingsoft.com/

http://www.free-speed-reading.com/

Speed reading software:

http://www.rocketreader.com/index.html

http://www.speedreaderx.com/online-speed-reading.htm

http://www.thespeedreading.net/

http://www.readfaster.com/index.asp

Photo Credit : lensfusion @ freedigitalphotos.net