Institusi pendidikan tinggi memainkan peranan yang sangat penting sebagai agenda bagi membangunkan sumber manusia seterusnya menggerakkan pertumbuhan ekonomi negara. Perhubungan sehala di antara pendidikan dan pertumbuhan ekonomi negara ini tidak sekadar mengenai silibus dan sistem pembelajaran tetapi turut merangkumi perspektif baru kepada para pelajar termasuklah kemahiran berkomunikasi, pengetahuan alternatif juga daya memasarkan diri dalam pasaran tenaga kerja.

Peningkatan jumlah kemasukan pelajar ke institut pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara bagi program Sarjana Muda mengikut Jabatan Pengajian Tinggi bagi tahun 2008 telah meningkat dari 118,388 orang kepada 132,040 orang pada tahun 2009 sedikit sebanyak telah memberi mesej kepada kita bahawa negara sedang mengalami perubahan ke arah masyarakat yang mementingkan ilmu pengetahuan berlandaskan persijilan. Ia bukan sekadar bagi memenuhi cita-cita anak-anak muda ini tetapi yang paling utama sebagai satu faktor kelangsungan dalam kehidupan moden yang begitu mendesak.

Apabila faktor kelangsungan diambil kira sebagai salah satu faktor pencetus kepada isu pendidikan yang berasaskan persijilan ini, maka kita akan dapati bahawa cita-cita dan kerjaya impian tidak lagi menjadi pencetus kepada sebab bagi anak-anak muda bersaing untuk mendapatkan tempat di IPT . Selain itu juga, pemilihan di peringkat kemasukan terutama bagi institut pengajian tinggi awam (IPTA) turut melihat kepada keputusan peperiksaan akhir para pelajar juga kekosongan yang ada di mana-mana fakulti berdasarkan senarai pilihan dalam permohonan yang dilihat sesuai kepada pelajar berkenaan tanpa menimbangkan secara serius minat pelajar tersebut.

Apabila hal ini terjadi, maka terdapat segelintir pelajar yang menyambung pelajaran dalam bidang yang tidak mereka minati biarpun terdapat dalam senarai pilihan permohonan mereka sebelum ini. Hal ini berikutan, terdapat desakan dan pandangan terutama dari ibu bapa yang melihat bahawa mendapat kedudukan di IPT itu adalah lebih utama daripada bidang yang ditawarkan kepada anak-anak mereka. Kita tidak boleh menafikan pandangan ini juga untuk menyetujuinya secara mutlak kerana kedua-duanya memberi kesan yang berbeza kepada setiap pelajar.

Dalam konteks ekonomi yang semakin berkembang kepada arah yang tidak menentu pada hari ini, para pelajar harus didedahkan dengan kenyataan bahawa mereka tidak lagi boleh hanya bergantung kepada minat semata-mata untuk berjaya dalam pelajaran juga kerjaya. Atas dasar itu juga, program pengupayaan ekonomi harus diterapkan di peringkat awal seperti memasukkan ia ke dalam silibus pendidikan agar dapat memberi sedikit sebanyak cadangan dan pendedahan kepada golongan ini berkenaan dengan realiti pasaran tenaga kerja semasa yang tidak mengambil kira minat seseorang semata-mata.

Program pengupayaan ekonomi di IPT ini bukan hanya berkaitan dengan penubuhan kelab usahawan di kalangan pelajar tetapi haruslah mencakupi bentuk program yang boleh dipelajari secara tidak langsung oleh para pelajar. Sebagai contoh, dalam proses pembelajaran terutama sekali yang melibatkan mata pelajaran elektif, pelajar perlu didedahkan dengan peluang kerjaya yang boleh diceburi yang bersesuaian dengan bidang pengajian mereka.

Antaranya ialah pelajar jurusan shariah selain daripada melihat kerjaya dalam undang-undang dan pendidikan sebagai matlamat utama, mereka sebenarnya ada peluang untuk menjurus kepada bidang kualiti pematuhan shariah dalam industri. Begitu juga dengan pelajar jurusan kejuruteraan, selain kerjaya teknikal yang menjadi idaman, mereka juga mempunyai peluang yang besar dalam bidang perniagaan dengan kepakaran teknologi dan pembuatan yang mereka miliki.

Agenda pengupayaan ekonomi ini seharusnya diteruskan selepas para pelajar menamatkan pengajian mereka. Dalam peringkat ini, selain daripada bantuan bimbingan daripada alumni IPT, kursus dan program yang disediakan kerajaan, graduan sendiri harus bersikap matang dalam membuat keputusan berkaitan dengan kerjaya dengan mengutamakan faktor kelangsungan berbanding minat semata-mata. Ini bagi memastikan mereka tidak melalui tempoh pengangguran yang lama.

Biarpun kerjaya yang disandang sekadar memenuhi kekosongan dalam lapangan pasaran tenaga kerja, setiap kerjaya itu wajar dinilai dan dihargai oleh anak-anak muda disebabkan oleh faktor kelangsungan itu tadi. Sebagaimana Allah berfirman dalam Surah Al-Jumu’ah ayat 10 yang menyuruh kita agar berusaha untuk mencari rezeki yang halal walau di mana sahaja dengan sentiasa mengingati Allah bagi mencapai kejayaan tanpa perlu terikat semata-mata dengan minat.

Hakikatnya, menyandang kerjaya bukan pilihan tidak bermakna kita tidak akan mencapai kejayaan material mahupun spiritual (kepuasan bekerja). Hal demikian kerana, kerjaya bukan pilihan membentuk kita menjadi seorang yang mempunyai pelbagai kemahiran selain daripada bidang yang diminati. Selain itu juga, ia secara tidak langsung menghantar mesej kepada majikan bahawa kita berkeupayaan untuk melaksanakan tugasan dalam pelbagai situasi dan bidang. Kepelbagaian dalam kemahiran ini sebenarnya merupakan satu faktor ekonomi yang membantu seseorang untuk mendapat pulangan yang lebih lumayan seperti penambahan imbuhan, kepercayaan majikan, kenaikan pangkat dan kepuasan dalam kerjaya.

Minat sentiasa boleh dipupuk dan diusahakan pada bila-bila masa. Minat juga boleh berubah seiring dengan peredaran masa juga keadaan sekeliling. Generasi muda hari ini wajar bersifat lebih matang bersama matangnya keadaan ekonomi semasa yang tidak selalunya mengizinkan kita untuk melakukan apa yang diminati. Kita juga tidak boleh terlalu berharap bantuan dan bimbingan mana-mana pihak dalam membentuk kehidupan kita. Hal demikian kerana mengambil kira faktor kelangsungan yang sebenarnya memberi makna kepada kesinambungan kehidupan kita sendiri bukan kehidupan orang lain.

Penulis : Nur Syahidah bt Abd Jalil

Artikel Sumbangan IKIM

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

Subscribe To Our Newsletter

Subscribe To Our Newsletter

Join our mailing list to receive the latest news and updates from our team.

You have Successfully Subscribed!